25 April 2011

Kedudukan Torres goyah


LONDON: Kedudukan Fernando Torres dalam skuad utama masih belum terjamin meskipun berjaya menamatkan kemarau jaringan dengan menyumbang gol pertama untuk Chelsea ketika menewaskan West Ham, 3-0, malam kelmarin.
Torres menembusi gawang pada minit ke-84, 10 minit selepas masuk sebagai pemain gantian bagi meleburkan kebuntuan gol selama 733 minit dalam penampilan ke-14 bersama kelab yang disertai Januari lalu.

Pengurus Blues, Carlo Ancelotti mengakui gol itu memberikan kelegaan dan percaya ia akan menyuntik keyakinan buat permulaan karier Torres di Stamford Bridge selepas berpindah dari Liverpool dengan rekod bayaran tertinggi Britain, 50 juta (RM248 juta).
Namun dengan Didier Drogba yang menjadi penyerang pilihan utama Ancelotti dalam tiga perlawanan terakhir turut berada di prestasi terbaik, pengendali itu belum memutuskan sama ada mahu menggandingkan kedua-dua pemain itu bagi perlawanan menentang Tottenham minggu depan.

Dua penyerang itu gagal membentuk keserasian apabila bermain bersama dan gol Torres itu hadir selepas dia menggantikan Drogba.

Ancelotti percaya persembahan cemerlang kedua-dua pemain itu memaksanya menghabiskan masa untuk mengkaji sistem yang berkesan di bahagian serangan.

“Dengan mengambil kira persembahan Drogba dan Torres yang sudah menjaringkan gol, kami perlu mencuba untuk menggandingkan mereka,” kata pengurus dari Itali itu.

“Kami hanya ada masa seminggu untuk berlatih dan mencuba. Mereka tidak mempunyai masalah untuk bermain bersama. Pergerakan Drogba sangat bagus. Sebab itu saya fikir mereka boleh bermain bersama.
“Saya tidak mahu memberi jaminan (Torres akan bermain) tapi akan mencuba. Kami mempunyai tempoh seminggu untuk berlatih dan kemudian akan menentukan jika mereka boleh bermain bersama-sama,” katanya.

Ancelotti tidak boleh menyembunyikan perasaan lega dengan gol itu yang hadir selepas Frank Lampard menghadiahkan jaringan pendahuluan kepada Chelsea pada minit ke-44.

“Semua orang menantikan saat ini,” tambahnya. “Kami perlu melangkah ke depan dan Torres akan menjadi lebih lebih bagus kerana sudah berjaya melepasi saat sukar. Semestinya ia adalah detik yang cukup bermakna buatnya. Dia mahu menjaringkan gol dan pada perlawanan selepas ini dan dia akan menjadi lebih bagus. Ia pergerakan yang bagus dan rembatan menarik.

“Saya tidak pernah hilang kepercayaan terhadap kemampuannya. Saya menyatakan bahawa kami perlu bersabar sementara dia menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan,” kata Ancelotti. -[metro]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...