8 April 2011

Scolari vs Drogba

drogba
LUIZ Felipe Scolari(gambar) akhirnya bersuara dan mengakui beliau berdepan masalah mengendalikan bilik persalinan Chelsea ketika tempoh mengecewakan sebagai pengurus di Stamford Bridge dan mahu menjual bintang serangan, Didier Drogba.
Jurulatih berbangsa Brazil itu, yang menghabiskan tujuh bulan sebagai pengurus Blues antara 2008-09 sebelum keputusan buruk menjurus kepada pemecatannya, berkata pemain tidak mensabotaj beliau.
Luiz Felipe Scolari
Namun pengendali berusia 62 tahun itu mendedahkan hubungan buruk dengan beberapa anggota skuadnya bermakna tugasannya di barat London itu amat mengujinya.

“Saya tidak tinggalkan Chelsea kerana sabotaj daripada pemain, tapi adalah benar sukar untuk mengawal keadaan dalam bilik persalinan.
“Dalam bilik persalinan di Chelsea, ada ramai bintang besar dan pemain yang bagus tapi perangai dan sikap mereka amat berbeza.”
Scolari, pengurus yang memenangi Piala Dunia bersama Brazil pada 2002, mengakui konflik terbesarnya di Chelsea adalah dengan Drogba.

“Drogba percaya dia adalah bintang dalam skuad dan saya memang ada konflik dengannya. Dia mahu pergi ke hospital di Paris kerana kecederaan, tapi saya kata tidak boleh,” katanya.

“Ia adalah masalah pertama saya kerana [Nicolas] Anelka bertindak baik ketika ketiadaannya dan menjaringkan banyak gol. Apabila Drogba pulang, dia mahu kembali bermain dalam kesebelasan utama dan saya kata tidak boleh.”

Bekas pengurus itu berkata beliau berkira-kira untuk membeli bintang Brazil, Robinho dan mahukan penyerang Inter Milan ketika itu, Adriano sebagai pengganti buat Drogba, namun mendakwa pemilik kelab, Roman Abramovich menafikan kedua-dua permintaannya itu.

“Saya mahukan Robinho, tapi ia tidak mungkin. Saya juga mahu Abramovich menghantar Drogba ke Inter dan menggantikannya dengan Adriano, kerana adalah lebih mudah untuk mengawalnya berbanding Drogba.”

Scolari berkata pertelingkahannya dengan Drogba bukan satu-satunya masalah yang dihadapi dalam bilik persalinan, mendakwa Michael Ballack cemburu dengan pencabarnya di bahagian tengah, Deco dan enggan bercakap dengan bintang Portugal itu.

“Ballack mahu menjadi seorang daripada jaguh dalam bilik persalinan dan hubungan dengan pemain Jerman itu tidak mudah. Dia kelihatan dengki dengan Deco, tidak mahu pemain itu datang dan saya terpaksa menjelaskan kepadanya saya adalah jurulatih dan ia terpulang kepada saya untuk membuat keputusan.
“Saya mahukan Deco bekerjasama dengan Ballack, tapi ia tidak mungkin. Mereka langsung tidak bercakap antara satu sama lain.”

Scolari, ketika ini pengurus di Palmeiras selepas menerima tugas itu tahun lalu, berkata kegagalan di Chelsea menyebabkannya terpaksa berehat sementara daripada bola sepak.

“Pemergian saya dari Chelsea adalah menyedihkan kerana Liga Perdana adalah satu pertandingan menarik dan satu gelanggang yang sensasi untuk bekerja,” katanya.
“Saya amat tertekan selepas pemecatan itu dan selama dua bulan, saya langsung tidak mahu bercakap mengenai bola sepak.”[myMETRO]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...