Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas mempertahankan Fabio Capello berhubung isu John Terry yang dilucutkan jawatan sebagai kapten England dan menegaskan, jurulatih Itali itu berhak untuk meluahkan rasa dukacitanya kepada umum.Pengurus England, Capello memberitahu TV Itali bahawa dia tidak bersetuju sama sekali dengan tindakan yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England.
FA dalam kenyataan pada Jumaat lalu memberitahu Terry akan dilucutkan jawatannya sebagai kapten England sehingga mahkamah membuat keputusan Julai ini iaitu selepas tamat Kejuaraan Eropah di Poland dan Ukraine, di mana pertahanan Chelsea itu tidak mengaku bersalah di atas pertuduhan bersikap perkauman terhadap pemain QPR, Anton Ferdinand.
"Dia mempunyai hak untuk meluahkan pandangannya dan mempertahankan pemain tersebut," kata Villas-Boas mengenai komen Capello itu.
Bekas Pengarah Eksekutif FA, David Davies antara individu yang membuat spekulasi berhubung tindakan Capello itu adalah disebabkan jurulatih berkenaan mahu menghalang Terry bersara daripada bola sepak antarabangsa sebelum Euro 2012.
Berdasarkan laporan media Britain kelmarin, Terry akan terus menyumbangkan khidmatnya bersama England, meskipun dia dilucutkan jawatannya sebagai kapten.
Sementara itu, pengurus Manchester United, Alex Ferguson turut bersimpati dengan Capello, tetapi menggesa jurulatih itu agar segera menyelesaikan perbezaan pendapatnya dengan FA.
Capello dijangka bertemu dengan Pengerusi FA, David Bernstein hujung minggu ini dan Ferguson memberitahu CNN: "Terdapat beberapa isu berhubung komunikasi.
"Saya tahu Fabio berada di luar negara tetapi dia telah pun kembali, jadi dalam tempoh beberapa hari ini semuanya akan diperjelaskan.
"Ini situasi yang sukar. Apabila anda pengurus pasukan dan memiliki kapten merupakan satu bahagian penting yang anda tidak mahu kehilangannya, jadi, saya faham isu ini akan diperkatakan oleh ramai pihak serta menimbulkan kontroversi mengenainya."[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan