Belum sampai semusim, impian Andre Villas-Boas untuk mencipta kemasyhuran seperti mana Jose Mourinho di Chelsea mungkin akan berakhir sebelum musim ini melabuhkan tirai jika prestasi terumbang-ambing The Blues mutakhir ini berterusan dalam beberapa perlawanan akan datang..
Semakin jauh ditinggalkan di belakang pendahulu Liga Perdana England, Manchester City dengan perbezaan 17 mata, berdepan risiko tersingkir daripada kejuaraan Piala FA dan Liga Juara-Juara, Chelsea mungkin menamatkan saingan musim ini tanpa sebarang trofi seperti mana jirannya, Arsenal.
Prospek itu sudah tentu tidak akan disukai oleh pemilik kelab, Roman Abramovich yang dilihat semakin kecewa melihat keupayaan pengurus muda itu kerana bukan sahaja tidak mampu membimbing Chelsea beraksi konsisten, namun semakin hilang mendapat sokongan daripada kebanyakan pemain senior.
Yang terbaru, kekalahan 1-3 kepada Napoli dalam aksi pertama timbal balik pertama Liga Juara-Juara sudah pasti akan meletakkan Villas-Boas 'panas punggung' memikirkan kedudukannya ketika aksi longlai para pemain di atas padang seolah-olah memberikan satu petanda bahawa mereka sedang 'memberontak' dalam diam.
Bertambah merumitkan keadaan, keputusan pelik pengurus dari Portugal itu yang enggan menggunakan khidmat beberapa pemain senior seperti Frank Lampard, Ashley Cole dan Michael Essien dalam kesebelasan utama ketika perlawanan penting berdepan Napoli bagaikan menambahkan lagi bara yang terpendam.
Biarpun Villas-Boas menafikan yang hubungan dia dan kelompok pemain ini sedang dilanda masalah, namun apa yang diperkatakan oleh bek kiri England, Ashley Cole mencetuskan satu persoalan menarik, apakah yang berlaku sebenarnya dalam kem Chelsea?
Ketika pengurus berusia 34 tahun itu memberitahu kepada media di England bahawa Cole tidak berada dalam 100 peratus cukup cergas dan tidak boleh diturunkan, Cole menafikan apa yang diperkatakan oleh bosnya itu dan kelihatan cukup kecewa dengan keputusan dilakukan oleh Villas-Boas.
Jika pemilihan Villas-Boas menggantikan Cole dengan pemain yang setanding, itu tidak menjadi persoalan besar, namun apa yang menghairankan mengapa dia memilih meletakkan Jose Bosingwa yang bermain di bek kanan mengambil tempat Cole di sebelah kiri?
Selain itu, kedegilan Villas-Boas yang terus meletakkan David Luiz beraksi di pertahanan tengah walaupun masih terus melakukan kesilapan demi kesilapan dalam setiap perlawanan sehinggakan menjadi perhatian pengkritik seolah-olah bekas pemain Benfica ini bagaikan anak emas kepadanya.
Dia boleh menggandingkan Gary Cahill dan Branislav Ivanovic yang mampu beraksi di bahagian tengah tetapi masih mengambil risiko memperjudikan Luiz yang beraksi terlalu agresif dan cuai dalam menjaga pergerakan pemain lawan.
Psikologi para pemain Chelsea dilihat berada dalam keadaan yang sangat rapuh selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan dan memburukkan situasi, ketua pasukan, John Terry bakal direhatkan selama enam minggu kerana kecederaan dan ia pasti menambahkan lagi masalah di bahagian pertahanan
Berdepan Bolton pada malam ini, Villas-Boas tiada pilihan lain kecuali mencari tiga mata penuh biarpun dengan kemenangan tipis.
Persoalannya, masih mampukah dia mencari formula terbaik mengembalikan semangat para pemain Chelsea ketika semakin ramai pemain senior The Blues mempertikaikan taktikal dan pemilihan pemain yang dilihat tidak masuk akal?[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan