7 Februari 2012

Capello pula selar FA

Pengurus England, Fabio Capello menyelar majikannya, Persatuan Bolasepak (FA) England kerana melucutkan John Terry sebagai kapten skuad kebangsaan ekoran dakwaan perkauman.Terry, 31, dilepaskan daripada tugas ketua pasukan memandangkan dia akan dibicarakan atas dakwaan menghambur kata-kata perkauman terhadap pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, tahun lalu. Bagaimanapun, keputusan FA tidak disenangi oleh Capello. 


“Saya tidak setuju dengan keputusan itu. Saya sudah pun bercakap dengan pengerusi (David Bernstein) dan memberitahunya pendapat saya, bahawa Terry tidak boleh dihukum sehinggalah mahkamah membuat keputusan.

“Ini adalah pengadilan sivil, bukan isu sukan. Ia akan menentukan apakah Terry benar-benar melakukan apa yang didakwa,’’ kata Capello dalam program bola sepak di stesen televisyen awam Itali, Rai. 

Perbicaraan Terry tidak akan berlangsung sehinggalah 9 Julai ini, iaitu selepas tamat pusingan akhir Kejohanan Eropah di Poland dan Ukraine, serta FA pula beranggapan adalah tidak sesuai untuk mengekalkannya ketika prasangka membelenggu pemain itu. 

“Ekoran keputusan mahkamah untuk menangguhkan isu John Terry sehingga Julai ini, Persatuan Bolasepak (FA) mengesahkan dia tidak akan mengetuai pasukan England sehingga semua tuduhan ke atasnya selesai.
“Keputusan ini diambil kerana adalah menjadi tradisi England untuk hanya memiliki ketua pasukan berprofil tinggi, sama ada di atas mahupun luar padang. Ia turut melibatkan tuntutan dan syarat-syarat tambahan lain untuk melayakkan seseorang itu boleh menjadi kapten dalam sesuatu kejohanan ,” kata FA dalam satu kenyataan, Khamis lalu. 

Kes Terry telah mendapat liputan meluas media di Britain kerana bilik persalinan England membariskan ramai pemain pelbagai kaum. Malah, abang Anton, Rio Ferdinand juga menyarung jersi skuad kebangsaan. 

Kemarahan Capello bagaimanapun tidak mengejutkan pegawai tertinggi FA yang bertanggungjawab membuat keputusan kerana mereka sudah sedar mengenai pendirian pengurus kelahiran Itali itu.

“Fabio Capello tidak terlibat dengan perbincangan Lembaga FA yang membuat keputusan ini, namun beliau faham Lembaga FA mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan,’’ kata kenyataan FA. 

Ini bukan kali pertama Terry dilucutkan sebagai ketua pasukan England. Dua tahun lalu, dia turut digugurkan kerana terlibat dalam hubungan sulit dengan bekas teman wanita Wayne Bridge. Ferdinand menggantikan tempatnya ketika itu. 

Bagaimanapun kerana siri kecederaan yang dialami Ferdinand dan aksi buruk ketika menentang Denmark dalam perlawanan persahabatan, mendorong Capello untuk mengembalikan lilitan ketua pasukan kepada Terry. 

Selepas tugasnya ditarik balik, Ferdinand membuat kenyataan umum bahawa dia tidak lagi berminat dengan peranan kapten England. 

“Saya tidak mahu menjadi kapten England selepas episod terakhir. Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada (Manchester) United dan kalau saya mendapat tempat dalam skuad kebangsaan, saya sudah cukup gembira,’’ kata Ferdinand dalam Twitter. 

Terry beberapa kali menegaskan, dia tidak bersalah dalam isu Anton, malah dia turut mendapat sokongan daripada pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas, yang mengekalkannya sebagai kapten Blues. 

“Ini adalah satu insiden malang, sesuatu yang tidak langsung menguntungkan bola sepak Britain. Kita perlu membiarkan orang yang dipanggil oleh mahkamah ditentukan nasibnya oleh mahkamah itu sendiri,’’ kata Villas-Boas.[sumber]
 
ArulchelseA: FA memang bangang..

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...