DIDIER Drogba mempunyai semangat dan kesungguhan di padang bola sepak yang tidak ramai pemain profesional mampu menyainginya.Bagaimanapun bintang Chelsea itu mempunyai cita-cita lebih tinggi daripada cuba mencapai kilauan piala untuk sebuah kelab di barat London. Dia adalah seorang lelaki yang mengambil tanggungjawab untuk membina kembali seluruh negaranya.
Jika Drogba bertanding untuk menjadi presiden Ivory Coast, mungkin dia akan menang besar.Bagaimanapun dia enggan melakukannya kerana percaya dia mampu mencapai lebih banyak kejayaan menerusi bola sepak.
Apabila Drogba mendarat bersama skuad kebangsaan di ibu negara Ivory Coast, Abidjan, Isnin lalu selepas tewas kepada Zambia di final Piala Negara-Negara Afrika menerusi penalti, ribuan penyokong berbaris di jalanan.
Drogba gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-70 yang sepatutnya membolehkan mereka menang dalam kejohanan itu tetapi negara Afrika Barat itu masih menyanjungi kapten dan pasukannya, seolah-olah mereka wira negara.
Berikutan perang saudara selepas pilihan raya tahun lalu yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa, bola sepak menyatukan sebuah negara yang dahulunya berpecah belah.
Drogba adalah simbol kelahiran semula negara itu. Menerusi Yayasan Didier Drogba yang ditubuhkan lima tahun lalu, keutamaannya adalah membina sebuah hospital bernilai 3 juta (RM14.3 juta) di Abidjan.
Selepas itu beberapa klinik satelit akan dibina di bahagian berlainan negara itu. Perang saudara menyebabkan rancangan Drogba tergendala tetapi kini pembangunan kini dirasai dan diharapkan hospital itu mampu dibuka pada hujung tahun ini.
Setiap wang yang diperoleh bintang Chelsea itu menerusi aktiviti komersial bersama Nike, Pepsi dan Samsung disalurkan ke yayasan itu.
Wang juga diperolehi menerusi acara mengumpul dana seperti malam amal tahunan yang akan diadakan di hotel The Dorchester, London bulan depan.
“Saya benar-benar teruja. Saya tidak sabar menunggu hospital itu dibina. Memandangkan perang sudah berakhir, ia sepatutnya dibuka sekarang. Kami akan melakukannya, kami akan bekerja keras.
“Kami perlukan hospital ini kerana kami mahu membantu orang ramai di Abidjan. Untuk pergi ke negara lain pastinya sukar bagi kanak-kanak yang sakit. Terdapat doktor yang bagus tetapi mereka memerlukan pertolongan.”
Pastinya ia satu proses yang sukar bagi memastikan ia disiapkan segera tetapi pengaruh Drogba memastikan segala-galanya berjalan lancar.
“Saya bernasib baik kerana suara saya lebih didengari berbanding orang lain. Saya boleh menghubungi presiden jika saya perlukan sesuatu tetapi saya lebih senang untuk tidak melakukannya. Saya lebih senang berjuang dan melakukan semuanya sendiri,” katanya.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan