Andre Villas-Boas menegaskan bahawa dia masih mendapat sokongan penuh pemilik Chelsea, Roman Abramovich meskipun prestasi pasukan bimbingannya semakin merosot.Tekanan terhadap kedudukan Villas-Boas sebagai pengurus semakin meningkat apabila pasukannya gagal mengalahkan kelab dari Liga Kejuaraan, Birmingham City dalam perlawanan pusingan kelima Piala FA di Stamford Bridge.
Keputusan seri 1-1 itu dicatat selepas mereka tumpas di Everton dalam aksi Liga Perdana minggu lalu, keputusan yang mendorong kepada jurulatih itu mengadakan pertemuan dengan para pemain selain membuat sesi latihan tambahan pada hari rehat.
Abramovich turut menghadiri pertemuan tersebut tetapi jika pemilik kelab dan pengurus mengharapkan satu perubahan segera, ia ternyata meleset.
David Murphy meletakkan Birmingham di depan pada minit ke-20 dan Chelsea terpaksa menunggu tandukan Daniel Sturridge pada babak kedua bagi membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan ulangan selepas Juan Mata gagal menyempurnakan sepakan penalti separuh masa pertama.
Villas-Boas mengakui pasukannya hilang keyakinan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara, Rabu ini di Napoli, tetapi dia mendakwa kedudukannya sebagai pengurus tidak terancam.
Ketika ditanya keputusan pada perlawanan menentang Napoli bakal menjejaskan masa depannya, dia berkata: "Tidak. Tidak, tidak sama sekali. Bukan saya yang membuat keputusan, anda perlu bertanya soalan ini kepada orang yang sewajarnya."
Bagaimanapun, Villas-Boas tidak menolak bahawa persembahan Chelsea menentang Birmingham tidak mencapai standard biasa kelab itu.
"Ia tidak bagus, sudah tentu ia bukan aksi yang baik. Kami bermain baik pada babak kedua tetapi tidak mempunyai peluang yang cukup untuk menang. Dan saya tidak akan sesekali berkata yang perlawanan ini bagus apabila anda bertemu dengan pasukan Liga Kejuaraan.
"Kami ambil masa terlalu lama untuk mencari rentak permainan sebenar kami dan mereka memiliki peluang menjaringkan gol pada separuh masa kedua," katanya.
Mengakui skuad bimbingannya itu semakin hilang keyakinan diri sejak kebelakangan ini, menambah: "Situasi sekarang ialah kami gagal mencatat keputusan yang baik untuk kami bina kembali keyakinan.
"Tetapi kami masih berada dalam pertandingan dan akan terus berusaha. Perlawanan menentang Napoli bukan satu pertemuan yang mudah, tetapi kami perlu mempamerkan semangat berpasukan untuk mengatasi laluan getir ini."
Punca kemerosotan Chelsea mungkin tidak dapat diselesaikan jika Ashley Cole dan John Terry gagal untuk sembuh daripada kecederaan yang menyaksikan mereka tidak dapat bermain pada perlawanan menentang Birmingham.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan