Frank Lampard menjaringkan gol untuk menyelamatkan kedudukan pengurusnya kelmarin, namun sejurus tamat perlawanan bintang tengah Chelsea itu membuat pengakuan bahawa hubungannya dan Andre Villas-Boas tidak ideal.
Kelmarin, Lampard menjaringkan gol liga ke-150 untuk membantu Chelsea menumpaskan Bolton 3-0 di Stamford Bridge.
Begitupun, dia mengakui kemenangan itu tidak banyak membantu memperbaiki hubungannya dengan pengendali dari Portugal itu. "Saya rasa anda juga boleh nampak bahawa kami tidak ideal. Sudah timbul beberapa isu dengan pemain-pemain tertentu dan kami tidak gembira apabila tidak dapat bermain.
"Saya percaya, ada satu ketika kami semua berasa amat kecewa. Semua orang yang terlibat, terutama yang sentiasa meletakkan Chelsea di hati mereka dan sudah berada lama di sini, hanya mahu bermain untuk pasukan.
"Ia bukan bermakna saya mahu sentiasa diturunkan dalam setiap perlawanan, cuma sekalipun saya hanya dibenarkan duduk di bangku simpanan, saya mahu melihat Chelsea mencatat kemenangan. "Saya tidak pernah lihat dalam mana-mana perlawanan sekalipun, jurulatih mengetepikan pemain daripada skuad hingga sanggup mengundang bahaya kepada kelab," tegas Lampard.
Kenyataan bintang tengah England itu dibuat merujuk kepada tindakan Villas-Boas mengetepikan dia, Ashley Cole dan Michael Essien daripada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang kelab Itali, Napoli gara-gara menegur taktik yang diterapkan pengurus.
Natijahnya, Chelsea kalah 3-1 dan kini terpaksa menggalas tugas berat untuk mencari kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 apabila perlawanan peringkat kedua berlangsung di London, dua minggu dari sekarang.
Bagaimanapun kelmarin, Lampard membantu mengurangkan tekanan Villas-Boas apabila menjaringkan satu daripada tiga gol pasukannya di Stamford Bridge. Dua lagi jaringan The Blues disempurnakan pemain pertahanan, David Luiz dan penyerang, Didier Drogba.
Biarpun memainkan peranan penting dan berjaya menyumbang kepada kemenangan pasukan kelmarin, namun Villas-Boas memberi amaran bahawa Lampard berpotensi diketepikan sekali lagi di bangku simpanan apabila Chelsea menentang West Brom, Sabtu ini.
"Pemain berhak berasa kecewa tetapi kami juga perlu membuat keputusan untuk kepentingan pasukan. Ada enam pemain yang bersaing untuk tiga posisi di bahagian tengah. Hari ini Lampard mendapat peluangnya dan dia bermain dengan baik," ujar Villas-Boas.
Ketika ditanya wartawan, apakah tempat bintang England itu pada pertemuan dengan West Brom sudah terjamin, pengurus berusia 34 tahun itu menambah: "Ia (memberi jaminan sekarang) bukan cara kami bekerja."[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan