4 Oktober 2012

Cech yakini Chelsea

Petr Cech sudah berusia 30 tahun dan meraih pelbagai gelaran sepanjang bersama Chelsea. Cech dianggap sebagai antara penjaga gol terbaik dunia, menjulang kejayaan sejak menyertai kelab itu pada 2004 dan membantu kelab London itu mengakhiri penantian menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Kejayaan itu melonjakkan lagi semangat Blues memulakan kempen musim ini dengan cemerlang selain mempertahan kejuaraan di Eropah serta kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris.

SOALAN (S): Apa pandangan anda mengenai pencapaian Chelsea setakat ini?

PETR CECH (PC): Saya fikir tidaklah terlalu teruk. Seronok apabila mengutip mata sejak awal musim, apatah lagi kami tidak bolos dalam kebanyakan perlawanan. Ini menunjukkan kami mempunyai pertahanan yang bagus dan sudah tentu memuaskan hati saya sebagai penjaga gol. Apa yang memalukan, kami gagal dalam Piala Super Eropah di Monaco. Kami mempunyai pasukan yang dibentuk untuk memenangi gelaran tetapi gagal menewaskan Atletico Madrid yang berhak meraih kemenangan.

S: Bagaimana pula anda menilai permulaan Chelsea dalam Liga Juara-Juara?

PC:
Saya kecewa kerana kami seri di laman sendiri menentang Juventus, terutamanya selepas mendahului 2-0. Kami sepatutnya mengawal perlawanan lebih baik pada separuh masa kedua dan memastikan kemenangan tetapi kami sentiasa positif dan perlu terus mengutip sebanyak mata yang mungkin untuk mendahului kumpulan sebelum pergi lebih jauh.


S: Pada pandangan anda, apa kekuatan Chelsea musim ini?

PC:
Kami mempunyai pasukan berbeza dengan ramai pemain baru. Sebagai pemain, mereka mempunyai lebih kemahiran teknikal berbanding fizikal. Oleh sebab itu, gaya permainan kami berubah dan kami cuba untuk membawa dinamik dalam gerakan menyerang dan dengan adanya pemain berbakat itu, kami semakin mara.

Ketibaan Eden Hazard banyak memberi manfaat kepada kami. Dia cepat membentuk persefahaman dengan pemain di sekelilingnya seperti juga Juan Mata dan Oscar, malah seronok apabila melihat pemain datang dari liga lain dan menyesuaikan diri begitu cepat.

S: Oscar juga menyesuai diri dengan cepat, selain dua jaringan ke atas Juventus. Adakah kedua-dua pemain itu mengejutkan anda?

PC:
Kedua-duanya adalah pemain muda dengan cita-cita tinggi, berpengalaman luas biar pun masih muda. Secara umumnya, lebih mudah untuk menyesuaikan diri ketika masih muda. Mereka berseronok apabila berada di padang dan menggembirakan orang di sekeliling mereka. Eden meneruskan rentak cemerlangnya di Perancis dan bagi Oscar, saya bangga dengannya kerana bukan mudah untuk pemain Brazil sepertinya menyerlah kerana kejohanannya berbeza, malah dia masih muda. Dua jaringannya menunjukkan dia berhak mendapat tempat di sini dan saya yakin dengan kemampuannya pada masa depan.


S: Ia juga menjadi petanda Chelsea di tahap terbaik apabila pemain baru menyesuaikan diri begitu pantas?

PC:
Memang tepat tetapi Chelsea mempunyai skuad yang mantap buat beberapa lama dan pada masa itu pemain baru mudah menyesuaikan diri. Semua orang sedar bahawa pasukan lebih penting daripada individu dan pemain baru sentiasa dialu-alukan. Saya berada di sini selama lapan tahun dan saya tidak pernah melihat pemain yang menjalani hidup sukar di sini dan tidak boleh menyesuaikan diri. Memang bertentangan sama sekali.


S: Adakah menjuarai Liga Juara-Juara memberikan kekuatan mental kepada Chelsea?

PC:
Ia memberikan kami kepuasan dan ketenangan minda kerana ia adalah trofi yang ingin kami menangi sejak sekian lama. Kami akhirnya berjaya menjulang piala hebat itu dan cita-cita kami adalah mempertahankan gelaran kami. Selepas mengalami pengalaman yang hebat itu, matlamat kami adalah satu iaitu merasainya sekali lagi.


S: Anda adalah antara wira dalam perlawanan akhir itu, apatah lagi apabila berjaya menyelamatkan penalti Arjen Robben pada masa tambahan. Adakah itu pencapaian penting dalam karier anda secara peribadi?

PC:
Sudah pasti. Ia satu detik yang akan dikenang semua orang apatah lagi diri saya. Ia adalah antara satu titik mula dalam perlawanan akhir kerana mereka mungkin menang jika menjaringkan gol. Kejayaan menyelamatkan bola itu membolehkan kami terus berharap dan terus berusaha hingga ke penentuan penalti. Kita semua tahu apa yang berlaku selepas itu.


S: Pada usia 30 tahun, anda masih muda sebagai seorang penjaga gol. Adakah anda berhasrat mahu terus beraksi selepas Piala Dunia 2014 atau sudah menetapkan tarikh untuk persaraan?

PC:
Saya berharap dapat ke Brazil, sebuah negara yang rakyatnya hidup dengan bola sepak dan ia sungguh istimewa. Selepas itu saya akan teruskan dengan apa yang saya sukai. Jika boleh saya mahu meneruskannya enam atau tujuh tahun lagi. Itupun jika keadaan kesihatan dan prestasi saya baik. Saya tidak mahu terus bermain hanya kerana nama saya Petr Cech dan bermain dengan Chelsea selama sepuluh tahun.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...