Antonio Sanz dari Bahia Internacional mengulangi pandangan yang diutarakan oleh penyerang Blues, Salomon Kalou, yang minggu ini mengakui semangatnya semakin pulih dengan kepercayaan yang diberikan pengurus sementara, Roberto Di Matteo.
Kalou mengakui bekas pengurus yang dipecat, Andre Villas-Boas enggan memilihnya kerana dia tidak menandatangani kontrak baru dan Sanz mendakwa Torres tidak dilayan dengan betul oleh pengurus kelahiran Portugal itu.
Penyerang Sepanyol, Torres mula menunjukkan bayangan sebagai pemain termahal pernah dijual di kalangan kelab Inggeris selepas Chelsea membelinya dari Liverpool.
Dia diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam empat daripada tujuh perlawanan terakhir Blues sejak Di Matteo mengambil alih, selepas hanya menggalas tugas sebagai pengganti Didier Drogba sewaktu kendalian Villas-Boas.
“Villas-Boas tidak memandangnya tetapi ketibaan Di Matteo membolehkan dia kembali menerima kepercayaan sewajarnya,” kata Sanz.
Selepas gagal memburu jaringan sepanjang lima bulan bersama Villas-Boas, Torres hanya memerlukan tiga perlawanan untuk mengakhiri badi di depan gol selepas perlantikan Di Matteo.
Dia juga mengekalkan rekod bantuan jaringan dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu apabila Chelsea menang di Benfica.
“Dia bermain dengan baik dalam Liga Juara-Juara di Lisbon, membantu jaringan kemenangan yang disempurnakan Kalou.”
Begitupun masih terlalu awal untuk meletakkan Torres sebagai pembelian berbaloi ketika ini apatah lagi dia masih gugup di depan gawang lawan.
Ketika perkara itu masih diperbincangkan, pemain berusia 28 tahun itu turut dikaitkan dengan perpindahan dari Stamford Bridge dan Sanz memberi bayangan betapa prestasi pada baki musim ini akan menentukan masa depannya untuk jangka masa panjang.
“Kami akan menilai masa depannya pada bulan berikutnya,” kata Sanz.
“Fernando masih mempunyai empat tahun dalam kontraknya bersama Chelsea dan situasi di sana sudah berubah.”
Roma yang dibeli sebuah konsortium Amerika Syarikat musim ini dan Juventus, adalah antara yang dikaitkan dengan Torres.
“Kami sedar mengenai projek baru di Roma dan hasrat pengurusnya, Luis Enrique, tetapi jika Roma mahukan Fernando, mereka perlu berbincang dengan Chelsea.
“Kejohanan di peringkat Itali bertaraf tinggi tetapi tiada perbincangan dengan Roma dan Juventus setakat ini,” katanya.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan