Roman Abramovich ingin berdamai dengan Jose Mourinho selepas bekas pengurus Chelsea itu muncul antara calon yang disenarai pendek untuk mengambil alih tugas di Stamford Bridge musim depan berikutan pemecatan Andre Villas-Boas.
Abramovich memecat Villas-Boas kelmarin, kurang 24 jam selepas Chelsea tewas 0-1 kepada West Bromwich Albion yang menyaksikan Blues turun ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris.
Bekas pemain tengah Chelsea, Roberto Di Matteo yang sebelum ini menjadi pembantu kepada Villas-Boas, kini bertugas sebagai pengurus sementara hingga tamat musim ini.
Di Matteo berharap mengelak daripada tersingkir pada pusingan kelima Piala FA bertemu Birmingham apabila skuad kendaliannya itu berkunjung ke St Andrews, awal pagi esok.
Selepas itu, pengendali dari Itali itu akan menumpukan usaha membawa Chelsea kembali menduduki kelompok empat pasukan terbaik bagi membolehkan mereka menempah tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan dan cuba membantu Chelsea meraih kemenangan ke atas Napoli pada perlawanan timbal balik pusingan kedua Liga Juara-Juara musim ini selepas kelab Itali itu menang 3-1 pada perlawanan pertama.
Namun persoalan utama di Chelsea kini adalah pencarian Abramovich untuk melantik pengurus kelapan sepanjang lapan tahun beliau memiliki kelab barat London itu.
Sejak membeli Chelsea pada 2003, Abramovich sudah menyingkirkan Claudio Ranieri, Mourinho, Avram Grant, Luiz Felipe Scolari, Carlo Ancelotti dan kini Villas-Boas.
Untuk memenuhi kehendak Abramovich yang tinggi satu tugas amat berat di Chelsea tapi Mourinho yang hampir memenuhi semua impian Abramovich sebelum ini mungkin akan kembali selepas tamat musim ini.
Jurulatih Real Madrid itu sudah membantu kelabnya mendominasi saingan La Liga musim ini di sebalik saingan sengit Barcelona.
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan