England mungkin kehilangan ayam tambatan mereka, Wayne Rooney dalam dua perlawanan pertama Euro 2012 tetapi Daniel Sturridge kini mendahului senarai untuk menggalas tugas menggantikan penyerang United itu.
Pemain berusia 22 tahun itu menyaksikan kedua-dua pengurus kelab dan pasukan kebangsaan, Andre Villas-Boas dan Fabio Capello meninggalkan jawatan masing-masing, tetapi ia tidak langsung menjejaskan prestasi yang mungkin membawanya ke Poland dan Ukraine.
Sturridge yang akhirnya menikmati statusnya dalam kesebelasan utama Blues sejak meninggalkan Manchester City pada 2009, memberitahu dia gembira menjadi pemain serba boleh jika ia bermaksud dia boleh bermain.
“Saya fikir, saya semakin matang sejak berpindah ke Chelsea, kini hasilnya saya meraih pengalaman dan keyakinan diri,” kata penyerang itu.
“Saya fikir, saya semakin matang sejak berpindah ke Chelsea, kini hasilnya saya meraih pengalaman dan keyakinan diri,” kata penyerang itu.
“Saya bermain dalam posisi berbeza dari awal karier saya, biarpun saya masih melihat diri saya sebagai seorang penyerang tetapi saya menjalankan tugas demi pasukan dan gembira diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam lebih banyak perlawanan, itu yang lebih penting dan jika saya boleh mewakili negara dalam mana-mana posisi, saya gembira melakukannya.”
Diberi tugas lebih meluas ketika di bawah kendalian Villas-Boas, pemain kelahiran Birmingham itu adalah antara aspek postif dalam musim mengecewakan di Stamford Bridge.
Ketika ini, Chelsea menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris dan mungkin hilang tempat dalam kelayakan Liga Juara-Juara.
Sturridge begitupun boleh berbangga dengan pencapaian peribadinya dengan menjaringkan 11 gol dalam semua pertandingan bersama Blues dan berjaya mewakili England.
Biarpun fokus utamanya adalah mendapatkan sesuatu daripada kempen Chelsea kali ini, dia masih terfikir mengenai Euro 2012.
“Saya berazam mahu menamatkan musim ini dalam kelompok empat terbaik bersama Chelsea dan memenangi Liga Juara-Juara dan Piala FA dan jika saya mampu menyertai pasukan kebangsaan, ia pastinya impian menjadi kenyataan,” kata penyarung jersi nombor 23 itu.
“Saya fikir semua orang mempunyai peluang. Masih ada tiga bulan untuk anda bekerja lebih keras di kelab sendiri dan meneruskan prestasi itu pada musim panas ini. Saya harap dapat bermain dengan baik, bebas daripada kecederaan dan merebut peluang bila mendapatnya.”
Biarpun Capello memberikan Sturridge peluang pertama mewakili England ketika menentang Sweden, November lalu, penampilan kedua penyerang itu untuk skuad Three Lions, diberikan oleh seseorang yang amat dikenalinya iaitu, Stuart Pearce.
Kedua-duanya pernah bekerjasama ketika masih bersama City dan beliaulah yang memberikan peluang terhadapnya untuk melangkah dalam bola sepak England. Sturridge terlalu menghormati Pearce.
“Beliau adalah seorang lelaki yang hebat dan banyak jasanya kepada saya. Beliau memberi peluang kepada saya membuat penampilan pertama bersama City ketika saya berusia 17 tahun dan mengajar saya mengenai aspek fizikal dalam latihan dan ia banyak membantu saya memperbaiki karier saya hingga ke hari ini.
“Beliau memberikan keyakinan terhadap saya untuk pasukan bawah 21 tahun dan saya berterima kasih kepadanya atas pengaruh beliau terhadap kerjaya saya,” katanya.
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan