22 April 2011

Ancelotti membara

LONDON: Carlo Ancelotti percaya perebutan kejuaraan Liga Perdana akan berlarutan sehingga ke perlawanan terakhir musim ini selepas Chelsea mendaki ke tangga kedua hasil kemenangan 3-1 ke atas Birmingham, awal pagi semalam.
Skuad kendalian Ancelotti berada di atas Arsenal hasil perbezaan gol lebih baik dengan kedua-dua kelab London itu kini ketinggalan enam mata di belakang peneraju liga, Manchester United ketika saingan berbaki lima perlawanan.

Kedua-dua pasukan itu bakal berdepan anak buah Sir Alex Ferguson di mana Chelsea akan bertandang ke Old Trafford pada 8 Mei manakala Arsenal menanti kunjungan pasukan pendahulu itu pada 1 Mei dengan harapan mahu mengekang United meraih mata.
Walaupun Ancelotti mengaku peluang pasukannya sukar, beliau tetap menegaskan, kedudukan boleh berubah bila-bila masa sebelum musim ini sampai ke kemuncak.

“Dalam bola sepak, saya tahu apa saja boleh berlaku sebelum wisel terakhir ditiup. Anda boleh memenangi piala dan terlepas kejuaraan pada minit-minit akhir.

“Jika bulan lalu kami fikir peluang untuk bangkit merebut kejuaraan tipis, saya fikir semua orang akan menganggap kami gila. Sekarang kami gembira kerana menduduki tempat kedua. Kami menanti apa yang akan terjadi dalam lima perlawanan berikut.

“Kami sedar United akan bermain menentang Arsenal dan saingan masih terbuka. Sememangnya saya mahu berada di kedudukan United, memiliki kelebihan enam mata. Jurang mata itu besar apabila berada di peringkat ini,” kata Ancelotti.

Gol pada babak pertama sumbangan Florent Malouda dan Salomon Kalou meletakkan Chelsea selesa pada perlawanan semalam sebelum Malouda meledak gol kedua peribadi bagi mengesahkan kemenangan.
Jaringan penalti diperoleh Birmingham pada saat akhir yang disempurna Sebastian Larsson gagal memberi kesan kepada keputusan perlawanan di Stamford Bridge.

Didier Drogba sekali lagi menjadi penyerang utama berbanding Fernando Torres yang diletakkan di bangku simpanan dan Ancelotti mengakui prestasi bintang Ivory Coast itu membantu kejayaan pasukannya kebelakangan ini.

Ancelotti menafikan Drogba berusaha untuk membuktikan kemampuan sejak kehadiran Torres dan mendakwa prestasi penyerang itu terjejas pada awal musim akibat malaria.

“Dia mempunyai personaliti hebat,” kata Ancelotti. “Dia tahu, akibat serangan malaria, dia tidak dapat beraksi dengan baik dan saya fikir sekarang dia sudah cergas dan mempamerkan kualiti sebenar.

“Dalam satu musim, masalah dihadapi seperti Drogba boleh berlaku. Kami tidak dapat melakukan apa-apa. Sekarang kami gembira melihat dia bermain dan lupakan masalahnya,” katanya.

Pengurus Birmingham, Alex McLeish percaya pasukannya hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk terus kekal dalam Liga Perdana musim depan.

“Saya boleh menyatakan kami masih memerlukan kemenangan. Kami akan berusaha mendapatkan mata sebanyak mungkin dalam lima perlawanan terakhir,” kata McLeish. -[metro]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...