Senjata Drogba-Torres hadapi Spurs.
LONDON: Carlo Ancelotti bersedia melunaskan perancangannya untuk menggandingkan Didier Drogba dengan Fernando Torres apabila bertemu Tottenham malam ini, dalam usaha mengekalkan misi Chelsea mengheret perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) hingga hari terakhir.
Pengurus Blues itu sebelum ini membatalkan usahanya menggandingkan penyerang bernilai rekod 50 juta pound (RM247.46 juta) itu dengan Drogba, selepas Chelsea tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara kepada Manchester United.
Namun, selepas Torres menamatkan kemarau gol selama 732 minit bersama kelab barunya ketika menjadi pemain gantian menentang West Ham United hujung minggu lalu, Ancelotti mula mencongak semula perancangannya untuk perlawanan penting hari ini.
“Falsafah dan pendapat saya ialah apabila memiliki pemain yang bagus, anda harus cuba menggandingkan mereka bersama,” kata pengurus itu.
“Jika pemain ada skil dan keupayaan, mereka mampu bermain bersama. Mungkin mereka perlu mengorbankan sebahagian daripada skil dan keupayaan itu tetapi mereka boleh bermain bersama-sama dan jika mereka boleh melakukannya, ia lebih bagus.”
Chelsea perlu menewaskan Spurs andai mahu meningkatkan tekanan terhadap pendahulu Manchester United yang mendahului dengan enam mata berbaki empat perlawanan.
Skuad Ancelotti bertandang ke Old Trafford pada 8 Mei ini dan pengurus itu sedar jika Chelsea menang tiga perlawanan berikutnya, mereka akan menuju ke hari terakhir perlawanan liga dengan tiga mata di belakang pendahulu.[berita harian]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan