27 April 2011

Kemunculan Semula Torres

Fernando Torres
Fernando Torres

FERNANDO Torres mengimbau kembali gol yang menamatkan kemarau selama 734 minit dan mengucapkan terima kasih kepada peminatnya kerana terus memberikan kepercayaan terhadapnya.
Jaringan bintang Sepanyol itu ketika kemenangan 3-0 Chelsea ke atas West Ham United Sabtu lalu adalah yang pertama buat kelab itu sejak perpindahan rekod sebanyak ₤50 juta (RM247 juta) dari Liverpool, Januari lalu.


Dan dia menghadiahkan jaringan bersejarah itu kepada penyokong kelab atau seperti yang dirujuknya sebagai “warga Chelsea”.

Pemain bergelar El Nino berusia 27 tahun itu berkata: “Daripada hari pertama saya di sini saya berasakan sokongan mereka ke mana saja saya pergi. Sekalipun apabila kami bermain di gelanggang lawan.


“Semuanya melaung-laungkan nama saya dan mereka lebih teruja dengan gol pertama saya berbanding saya sendiri.

“Saya tahu mereka gembira sekarang dan terima kasih kepada mereka, saya berasa amat bagus.

“Adalah penting untuk memiliki hubungan yang baik dengan mereka. Saya harap jaringan ini adalah yang pertama dan bukan yang terakhir.”

Semua percakapan mengenai “peminat” menjadikan Torres seperti karakter Robert Lindsay, Wolfie Smith dalam sitkom 1970-an, Citizen Smith.

Namun apabila bercakap mengenai pendukung utama di barisan depan Chelsea, tidak ramai yang lebih popular berbanding Torres - yang terbukti dengan keraian golnya, Sabtu lalu.

Penyerang itu tenggelam dalam dakapan rakan sepasukannya ketika penyokong Chelsea membingitkan suasana di Stamford Bridge selepas jaringannya pada minit ke-84.

Dia mengakui: “Ia satu penantian yang lama, 14 perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol.

“Adalah menarik untuk menjaringkan gol. Terima kasih kepada semua rakan sepasukan saya. Mereka cuba untuk memberikan kepada saya setiap masa, begitu juga reaksi menakjubkan mereka apabila saya berjaya menjaringkan gol. Ia satu hari yang hebat buat saya.”

Rakan sepasukan Torres, Frank Lampard mengakui: “Cara kami meraikan gol itu tidak dirancang, ia sesuatu yang spontan.

“Kami juga sudah menunggu lama saat-saat itu. Anda boleh lihat daripada reaksi pemain dan penyokong, setiap orang gembira buatnya.”

Lampard mendedahkan Torres bagaikan kelu lidah berkata-kata mengenai golnya dalam bilik persalinan Blues selepas wisel penamat.

“Saya fikir semua pemain faham dengan tekanan dihadapinya. Ia tidak mudah buatnya dan semua pemain menghormatinya.

“Kami mahu melihat dia bertindak cemerlang jadi kami tidak mahu dia lebih tertekan.”

Anak buah Carlo Ancelotti masih kekal enam mata di belakang pendahulu Manchester United - dengan kedua-dua pasukan itu dijadualkan bertembung sesama sendiri di Old Trafford pada 8 Mei depan.

Menariknya, tuah Torres bagaikan berubah apabila dia, isteri dan dua bayinya berpindah ke sebuah rumah baru minggu lalu.[metro]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...