Biarpun diejek sepanjang permainan, John Terry menunjukkan ketahanan  mental yang kuat apabila hadangannya pada minit terakhir membantu  Chelsea mengelak kekalahan di White Hart Lane, dan mengikat Tottenham  1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam.Pertahanan tengah Chelsea itu menghadang rembatan tepat Emmanuel  Adebayor pada masa kecederaan untuk memastikan pelawat pulang bersama  satu mata dalam penampilan sulungnya sejak didapati bersalah melakukan  serangan perkauma.
Keputusan seri membolehkan Spurs kekal di tangga ketiga liga  dengan dua mata di depan Chelsea, namun ketinggalan sembilan mata di  belakang pendahulu, Manchester City.Chelsea pula ditinggalkan 11 mata di belakang pendahulu. 
Sehari sebelum perlawanan, Terry menjadi tumpuan kerana didapati  bersalah menghamburkan serangan perkauman terhadap pertahanan Queens  Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand ketika pasukannya kalah di Loftus  Road, Oktober lalu. 
Bagaimanapun boss Chelsea, Andre Villas-Boas memuji ketua pasukannya  itu kerana berjaya mengetepikan masalah di luar padang untuk mempamer  persembahan cemerlang dan menyumbang kepada satu mata berharga.
"Sejak insiden itu, dia sudah semakin baik.Dia membesar dengan sikap yang bagus kerana baginya pasukan adalah  keutamaan. Dia menunjukkan karakter yang kuat dan personaliti yang  hebat."Usaha yang ditunjukkan malam ini (semalam) sangat luar biasa,'' ujar Villas-boas kepada Sky Sports sejurus tamat perlawanan. 
Bagi pengurus Tottenham, Harry Redknapp pula, keputusan seri sudah cukup membuatkan dia gembira.
"Di penghujung saingan kami ada peluang, satu peluang yang sangat  hebat tetapi apa pun, satu mata merupakan keputusan yang adil,''  katanya. 
Tuan rumah memulakan perlawanan dengan sempurna apabila penyerang  antarabangsa Togo, Adebayor meletakkan mereka di depan seawal minit  kelapan dengan menghukum kealpaan Terry dan menendang bola menerjah  jaring.
Bagaimanapun Chelsea tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan  selepas Daniel Sturridge berjaya menyudahkan hantaran silang cantik  daripada pemain pertahanan, Ashley Cole, pada minit ke-23.
Terry diejek penyokong Spurs ketika memanaskan badan sebelum perlawanan, namun dia mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong Blues yang berkunjung ke White Hart Lane.Dia diejek sekali lagi ketika Chelsea melakukan sepak mula, malah ejekan itu berterusan setiap kali dia menyentuh bola. 
 Namun, selain daripada kesilapan awal yang membenarkan Adebayor  menyumbat gol pembukaan, bintang pertahanan England itu menunjukkan  persembahan cemerlang untuk memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi  lagi.[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan