31 Disember 2011

Chelsea dulu ,kini dan selamanya-Terry

Kapten Chelsea dan England, John Terry menegaskan mahu menamatkan keseluruhan kariernya bersama kelab London itu, menjelang pertembungan dengan Aston Villa di laman sendiri, hari ini.Pemain pertahanan tengah berusia 31 tahun itu menerima tekanan dari dalam dan luar padang musim ini selain turut dipersalahkan atas kerapuhan benteng Chelsea disebabkan taktik digunakan pengurus baru, Andre Villas-Boas.


Minggu lalu dia didakwa pendakwa raya British dan terpaksa dihadapkan ke mahkamah bagi membela diri atas kesalahan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pertahanan QPR, Anton Ferdinand dalam satu insiden ketika Chelsea tewas di Loftus Road, Oktober lalu.

Namun Terry tidak berminat meninggalkan Stamford Bridge yang disertainya sebagai pelatih dan bersedia memastikan tempatnya dalam skuad sekali pun pengurus dari Portugal, Villas-Boas akan membawa masuk pemain pertahanan baru ketika tempoh perpindahan Januari depan dengan pemain Bolton, Gary Cahill dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea.

“Saya banyak menghabiskan masa di kelab ini dan amat bernasib baik untuk mula beraksi ketika usia muda dan kekal sehingga sekarang,” kata Terry.

“Saya amat berbangga untuk bermain dengan satu kelab saja dan saya tidak nampak diri saya menyarung jersi lain. Hubungan yang anda dapat bersama peminat amat luar biasa.

“Saya sudah melihat pengurus datang dan pergi namun masih terus berupaya meningkatkan prestasi.“Ini kerana yang pertama, saya mahu melakukannya dan kedua, ini adalah kelab saya, kini dan selamanya. 

Apabila sudah tidak bermain, saya mahu membawa anak-anak saya datang ke sini dan menyaksikan perlawanan.” Terry berkata, era pemain ‘satu kelab’ seperti dirinya dan pemain tengah Liverpool, Steven Gerrard sudah berakhir.

 “Anda sudah tidak melihat perkara seperti ini lagi hari ini,” kata Terry. “Ada beberapa pemain di Manchester United dan Steven Gerrard di Liverpool, namun sukar untuk mencari pemain lain seperti kami.“Anda boleh mengira dengan jari pemain yang mengabdikan sepanjang kariernya dengan satu kelab saja.”[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...