17 Disember 2011

Mata terus sokong AVB

JUAN Mata berkata semua pemain Chelsea menyokong penuh pengurus mereka, Andre Villas-Boas, malah pemain tengah itu percaya kelab itu kembali menemui sentuhan mereka dalam Liga Perdana Inggeris, selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Manchester City di laman sendiri.

Sejak beberapa minggu lalu, Villas-Boas berdepan pelbagai kritikan malah dikatakan mempunyai hubungan keruh dengan anak buahnya. Pengurus kelahiran Portugal itu dikatakan lebih senang mendiamkan diri dan selepas kemenangan 3-0 ke atas Valencia dalam saingan Liga Juara-Juara di Stamford Bridge, minggu lalu seolah-olah ‘menjawab’ kritikan yang dilemparkan terhadap kelab itu.

Kemenangan ke atas City yang diperoleh selepas bangkit daripada ketinggalan gol awal untuk meraih kemenangan menerusi penalti oleh Frank Lampard pada akhir permainan, menunjukkan karakter sebenar skuad itu dan menurut Mata, ia menunjukkan pemain masih bersama Villas-Boas.

“Pasukan ini menunjukkan bahawa pada saat yang getir, kami masih bersatu di belakang pengurus,” kata Mata. “Kini kami mencapai keputusan positif, segala-galanya menjadi lebih jelas tetapi kami menunjukkan bahawa kami menyokong pe-ngurus dan kakitangan teknikal, seperti sebuah keluarga.

“Pengurus mahu semuanya terbabit sama, dan sedia untuk menghasilkan yang terbaik dan itulah yang kami miliki ketika ini.

“Terdapat ramai pemain di sini tetapi kami berasakan menjadi sebahagian daripada pasukan.

Chelsea menang tiga perlawanan berturut-turut, pertamanya kemenangan 3-0 ke atas Newcastle untuk berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, tujuh mata di belakang pendahulu, City dan layak menyertai 16 pasukan Liga Juara-Juara. Sebelum ini, mereka tewas lima daripada sembilan perlawanan dalam setiap kejohanan.

“Kami membuktikan karakter kami apabila bangkit menewaskan City. Kami mungkin tewas tetapi kami tidak mengalah. Kami berjaya menewaskan pendahulu yang tidak pernah tewas sebarang perlawanan musim ini. Ia cukup meyakinkan.

“Kami menang tiga perlawanan penting dan ini mematahkan kritikan negatif dan berharap dapat meneruskannya untuk terus mendaki liga. Kami perlu berjuang untuk menang perlawanan kerana kami masih berpeluang memenangi banyak trofi.

“Perkara paling penting dalam bola sepak atau mana-mana sukan adalah keyakinan. Beberapa hari sebelum ini kami tidak mempunyai keyakinan mencukupi seperti hari ini dan ia hanya dapat ditunjukkan menerusi keputusan. Kami mampu me-ningkatkan keyakinan.”

Mata yang dibeli pada harga 23.5 juta (RM115.6 juta) dari Valencia mempamerkan aksi cemerlang sebaik menyarung jersi Chelsea.

Dia turut meluahkan penghargaan kepada Lampard yang kini tidak lagi menjadi pilihan utama. Lampard nampaknya kurang senang selepas tidak lagi mendapat perhatian Villas-Boas dan tidak dapat mengelak daripada meluahkan kekecewaannya sebaik menyumbang gol kemenangan, Isnin lalu.

“Lampard adalah pemain legenda di sini, pemain legenda yang banyak menyumbang kepada kelab,” kata Mata. “Kehadirannya cukup dirasai dan menjadi contoh dalam dunia bola sepak. Saya baru mengenalinya beberapa bulan tetapi dia adalah seorang pemain hebat dan sentiasa mesra dengan pemain baru.

“Dia sentiasa tenang biarpun tidak bermain, masih banyak ruang untuknya dan masih banyak lagi perlawanan. Dia mampu menyumbang banyak gol dan beraksi dalam lebih banyak permainan. Saya pasti.”[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...