7 Julai 2011

Dugaan Drogba (DD)

DIDIER Drogba bukan setakat mempunyai ketinggian tetapi juga reputasi yang semakin meningkat dan itulah bekalan selesa untuknya menyertai Chelsea dari Marseille pada 2004.Biarpun pembedahan pangkal paha menyebabkan dia tidak dapat beraksi selama dua bulan pada musim pertamanya, malah mengambil masa untuk mencapai prestasi sempurna, dia menamatkan kempen itu dengan 16 gol dalam setiap kejohanan termasuk satu dalam Piala Liga.
Pada musim 2005/06, dia masih mengumpul 16 jaringan, 12 daripadanya membantu Chelsea mempertahankan Liga Perdana Inggeris tetapi terpaksa menempuh pelbagai dugaan sebelum itu.Selepas insiden menyentuh bola dalam dua perlawanan dan dakwaan melakukan terjunan ke arah pemain lawan, dia ‘menjawabnya’ dengan mempamerkan aksi hebat ketika menentang West Ham di Stamford Bridge pada Mac 2006.


Chelsea bangkit dari ketinggalan satu gol dan kehilangan seorang pemain untuk menang 4-1, hingga menggesa pengurus ketika itu, Jose Mourinho berkata: “Didier patutnya pulang ke rumah, menonton televisyen, dengar apa yang dikatakan tokoh bola sepak, beli setiap akhbar esok dan dengar serta baca untuk melihat sama ada orang yang sama mahu membunuhnya kini mempunyai naluri untuk berkata bahawa dia berhak mendapatkannya.”

Kempen 2006/07 menyerlahkan segala-galanya yang dimiliki pemain Ivory Coast itu yang mempunyai kepantasan, kekuatan dan keupayaan merebut bola di udara menjadikannya penyerang yang diidam-idamkan Chelsea sejak sekian lama.Dia menjaringkan 33 gol dalam semua kejohanan selepas membentuk gandingan berbisa dengan Andriy Shevchenko yang baru menyertai pasukan itu.Berbekalkan 20 jaringan dalam Liga Perdana Inggeris, Drogba menerima anugerah kasut emas liga berkenaan buat kali pertama manakala 60 perlawanan yang disertai meletakkannya sebagai penampilan kedua terbanyak semusim dalam sejarah kelab itu.

Malah, dia turut melengkapkan kempen itu dengan gol pertama kelab itu di stadium baru Wembley ketika Chelsea menewaskan Manchester United 1-0 pada saat terakhir untuk menjuarai Piala FA.Harapan menggunung diletakkan terhadapnya untuk mengulangi kejayaan itu pada musim 2007/08 tetapi kecederaan lutut serta penyertaan dalam Piala Negara Afrika menyukarkannya untuk memberikan yang terbaik, hanya menamatkan musim itu dengan 15 gol termasuk satu lagi di Wembley ketika mereka kalah kepada Spurs dalam final Piala Liga.

Selepas menjaringkan dua gol ke atas Liverpool di Stamford Bridge pada saingan separuh akhir, kempen Liga Juara-Juara berakhir dengan penuh aib apabila dilayangkan kad merah pada perlawanan akhir menentang United di Moscow.Jika kempen itu dikatakan ada naik dan turunnya, musim 2008/09 dilihat jauh lebih luar biasa.

Ketibaan Luiz Felipe Scolari sebagai pengurus baru Chelsea disambut dengan teruja tetapi jurulatih Brazil itu gagal menggunakan Drigba yang dibelenggu kecederaan untuk digandingkan dengan Nicolas Anelka dan terpaksa bergantung harap kepada pemain Perancis itu.Penyingkiran Scolari dan pelantikan Guus Hiddink menandakan pemain itu kembali menemui sentuhannya dan muncul sebagai kapten dalam kesebelasan utama Ivory Coast selain membalas budi jurulatih Belanda itu dengan beberapa jaringan penting.

Begitupun, dia masih terus dihimpit kontroversi. Ketika tersingkir dari Liga Juara-Juara menerusi perlawanan separuh akhir menentang Barcelona, Drogba gagal menanganinya dengan baik dan bertelagah dengan pengadil, Tom Henning Ovrebo di depan kamera televisyen. Dia digantung tiga perlawanan, berbanding empat sebelum membuat rayuan.Formasi musim baru yang dibentuk pengganti jurulatih Belanda itu, Carlo Ancelotti, membolehkan Drogba bergandingan dengan Anelka, mencetuskan jaringan secara konsisten. Menjelang Krismas, dia menjaringkan 18 gol daripada 21 perlawanan sebelum menyertai Piala Negara Afrika.

Sebaik kembali untuk tugasan kelab menentang Hull, Drogba menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan percuma musim ini sebelum menjaringkan gol ke atas Arsenal, menjadikan 12 gol dalam 12 perlawanan menentang Gunners.Jaringan kemenangan yang dilakukannya pada final Piala FA menunjukkan musim itu dimulai dan diakhiri jaringan Drogba.Drogba terpilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan oleh peminat, menjaringkan 37 gol iaitu jumlah gol kedua terbanyak dalam sejarah Chelsea termasuk jaringan di Anfield, Emirates dan Old Trafford.

Selepas pembedahan hernia yang menyebabkannya tidak dapat beraksi hampir sepanjang pra-musim, Drogba memulakan musim 2010/11 dengan hatrik ke atas West Brom, diikuti bantuan hatrik ke atas Wigan. Ia kelihatan satu musim yang cukup menakutkan pertahanan sekitar Eropah.[metro]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...