Selain menempah slot ke separuh akhir Piala FA, pengendali sementara
 Chelsea, Rafael Benitez bertekad untuk menamatkan 'permusuhan' bersama 
pengurus Manchester United, Alex Ferguson.
Benitez berkata, beliau bersedia untuk bersalaman dengan Ferguson 
pada aksi ulangan suku akhir Piala FA di Stamford Bridge malam ini.
Sebelum ini, Ferguson dilaporkan enggan menyambut tangan Benitez 
sebaik kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi pertama di Old Trafford 
bulan lalu.
Bagaimanapun, Benitez enggan memanjangkan kontroversi tersebut dan 
bersedia bersalaman dengan Ferguson sebaik tamat perlawanan malam ini.
"Sebagai pengurus tuan rumah, sudah tentu saya akan bersalaman dengan pengurus pasukan pelawat."Mengenai Ferguson sama ada mahu bersalaman dengan saya ataupun tidak, jangan tanya saya.
"Berdasarkan rakaman perlawanan tempoh hari, beliau dilihat langsung tidak memandang saya.
"Saya tidak akan melakukan perkara yang sama. Apa yang penting saya mahu menikmati perlawanan ini," kata Benitez.
Pada masa sama, Benitez dijangka kembali mempertaruhkan skuad terbaik
 kerana eksperimennya tampak serba tidak menjadi ketika tumpas 1-2 
kepada Southampton kelmarin.
Beberapa pemain utama seperti Juan Mata, Eden Hazard, Ashley Cole, 
David Luiz, Ramires dan Demba Ba yang diketepikan pada perlawanan itu 
dijangka kembali beraksi malam ini.
Selain aksi Piala FA, skuad The Blues juga bakal berdepan Rubin Kazan pada saingan suku akhir pertama Liga Europa di tempat lawan minggu depan.[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan