Sergio Aguero hanya menunggu nasibnya, sama ada 
akan digantung atau tidak, gara-gara memijak pertahanan Chelsea, David 
Luiz dengan kedua-dua belah kaki ketika membantu Manchester City menang 
2-1 pada separuh akhir Piala FA kelmarin. 
Pengadil, Chris Foy dan pembantunya terlepas pandang insiden tersebut
 dan hanya memberi sepakan percuma kepada Chelsea, sedangkan tindakan 
Aguero boleh mengundang kepada layangan kad merah. 
Kini, Persatuan Bola sepak (FA) England akan berbincang mengenai 
insiden yang berlaku pada minit ke-82 itu, sebelum memutuskan apakah 
hukuman akan dijatuhkan ke atas Aguero atau membiarkan saja perkara itu. 
Pada ketika pemain-pemain Chelsea berang dengan insiden di Wembley, 
pengurus mereka, Rafael Benitez enggan mengulas mengenai Aguero. "Tonton
 sendiri video. Saya tidak mahu cakap tentang pemain lain," katanya 
ringkas. 
Sementara itu, Luiz mahu Aguero meminta maaf atas perbuatannya untuk memberi contoh yang baik kepada bola sepak. 
Pemain antarabangsa Brazil itu berkata, dia tidak fikir Aguero 
mempunyai niat jahat untuk mencederakannya tetapi bintang Argentina itu 
perlu memohon maaf kepadanya untuk menunjukkan contoh kepada peminat di 
seluruh dunia.
"Saya memaafkan semua orang dalam hidup saya tetapi Aguero adalah 
seorang pemain yang hebat dan dia perlu bersikap jujur kepada dirinya 
dengan memberitahu semua orang, dia bukan jenis pemain yang suka 
melakukan terjahan buruk. 
"Kalau saya berada di tempatnya, saya akan meminta maaf dan berkata, 
ini bukan sikap sebenar saya. Perkara ini tidak bagus untuk bola sepak, 
kanak-kanak menonton perlawanan dan perlu melihat perkara yang baik. 
"Kita perlu menunjukkan kecantikan bola sepak. Dalam perlawanan 
seperti ini, kedua-dua pasukan mahu menang, jadi kadang kala sikap orang
 boleh bertukar dan mereka melakukan perkara yang tidak dimaksudkan," 
kata Luiz. 
Dalam perlawanan kelmarin, Foy bukan saja tidak mengenakan sebarang 
hukuman terhadap Aguero, malah gagal menghadiahkan penalti kepada 
Chelsea pada lewat perlawanan selepas Vincent Kompany secara terangan 
menarik baju Fernando Torres dalam kawasan penalti City. 
Biarpun pengadil tidak menyebelahi Chelsea, namun Luiz menegaskan, Blues harus menyalahkan diri sendiri kerana memulakan perlawanan dengan perlahan dan membenarkan mereka ketinggalan 0-2. 
"Mereka (City) pasukan yang lebih baik di babak pertama. Selepas separuh masa, baru kami bangkit dan mencipta banyak peluang. 
"Kami tidak patut bermula perlahan, kalau pun tidak boleh mencipta 
jaringan kami sepatutnya tidak membenarkan lawan membolosi gawang dua 
kali," ujarnya lagi. 
Kekalahan kelmarin meletakkan Chelsea kini hanya memiliki satu 
kejuaraan untuk dikejar, Liga Europa. Kelab London itu akan bertemu 
wakil Switzerland, Basel pada separuh akhir pertama, hujung bulan ini.[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan