13 Oktober 2011

Temubual bersama Malouda

DI sebalik sibuk dengan jadual sesi latihan dan perbincangan taktikal, pemain tengah Chelsea dan Perancis, Florent Malouda masih sempat mencuri masa untuk ditemubual oleh wartawan.Tenang dan penuh dengan senyuman, dia menceritakan kariernya di kelab dan negara, membincangkan permulaan cemerlang Chelsea pada kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dan kebangkitan Les Bleus di bawah kendalian jurulatih Laurent Blanc.

SOALAN (S): Florent, selepas tujuh perlawanan, bagaimana anda lihat musim ini di England?



FLORENT MALOUDA (FM): Standard pertandingan amat tinggi. Orang bercakap mengenai ‘empat kelab besar’, tapi kini Manchester City sudah meningkat begitu juga Tottenham, yang agak berbahaya. Pasukan di mana-mana kelihatan meningkat dan menggugat pasukan besar, tapi ia memang berlaku di England kerana kelab banyak melakukan pelaburan.

S: Adakah anda fikir kejuaraan antara Chelsea dan Manchester United sekali lagi tahun ini?

FM:
Itulah coraknya sejak 2004. Satu permusuhan hebat sudah berlaku, dengan kejuaraan pergi ke satu pasukan dan tangga kedua satu pasukan lagi, atau sebaliknya. Ia selalu menjadi satu saingan getir hingga ke penamat. Musim lalu, kami hilang kejuaraan di Old Trafford dan tahun sebelumnya kami menang di sana. Sejarah berulang baru-baru ini. Musim ini, pemain senior kami kekal dan bercita-cita besar, pemain muda berbakat hadir. Gabungan pe-ngalaman dan keinginan kuat patut menjadikan kami kekal kompetitif dalam setiap pertandingan.


S: Adakah suntikan pemain baru bermakna tempat anda dalam pasukan terjejas?

FM:
Tidak, tidak semesti-nya. Ia sama di kelab-kelab besar, tempat anda sering kali menjadi rebutan dan ia membuatkan anda terus berusaha untuk bertindak cemerlang. Saya tidak anggap satu ancaman apabila pemain baru tiba. Ia hanya menguat-kan keazaman saya. Lagipun, musim agak panjang dengan banyak perlawanan dan memperteguhkan skuad mampu mengelak keputusan buruk seperti kami alami tahun lalu.


S: Adakah anda akan terus bermain selama Ryan Giggs, yang bermain di posisi anda?

FM:
Ryan Giggs dan Javier Zanetti adalah rujukan buat saya meneruskan karier, begitu juga Paolo Maldini. Ia tidak banyak berlaku hari ini, tapi ia sesuatu yang luar biasa untuk kekal di kelab yang boleh memena-ngi setiap trofi dan kekal kompetitif dalam usia 30-an. Memang benar kami kurang bermain, tapi kami masih memberikan yang terbaik sekiranya diturunkan.


S: Adakah anda dapati tekanan lebih bersama Les Bleus atau Chelsea?

FM:
Ia amat berbeza. Anda tidak banyak menghabiskan masa bersama pasukan kebangsaan. Mungkin ada perubahan besar di kalangan pemain yang dipanggil daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan anda tidak sering mendapat kelebihan atau kebebasan seperti di kelab anda. Pada 2006, saya ada di sana untuk membantu Zinedine Zidane dan Thierry Henry. Mereka adalah pemain senior dan saya ada peranan yang perlu dipenuhi. Pada 2008 dan 2010, saya melakukan perkara sama tapi keputusannya tidak sama. Ia menjurus kepada komen tidak sepatutnya dan perbandingan dengan persembahan saya di kelab. Keputusan dan kejayaan terlalu diambil kira.


S: Apakah kemuncak karier anda bersama Perancis setakat ini?

FM:
Perlawanan akhir 2006. Saya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir walaupun kami kalah. Ia satu memori pahit manis kerana saya terlepas peluang menjulang Piala Dunia. Trofi terlalu bersinar, tapi saya tidak dapat melihatnya, saya hanya mahu pulang bersamanya. Itu adalah perlawanan terbaik saya bersama Perancis, terutama kerana saya terpaksa menjalani pembedahan sebelum kejohanan. Sebaliknya, saya berjaya menamatkannya dengan persembahan hebat, berasa selesa di atas padang dan bermain dengan penuh kebebasan.


S: Adakah anda berhasrat untuk terus terbabit pada Brazil 2014?

FM:
Saya akan berada di sana tidak kira apa yang berlaku. Ia satu acara penting buat saya dan French Guiana (wilayah luar negara Perancis tempat kelahiran Malouda yang bersempadan dengan Brazil). Mereka sudah bersedia sejak hos Piala Dunia dianugerahkan kepada Brazil. Sudah tentu saya mahu ke sana bersama pasukan Perancis dan itulah satu sebab saya perlu kekal di sebuah kelab berprofil tinggi selama mungkin. Saya memenangi cap pertama pada 2004, jadi 2014 adalah angka yang bagus. Ia sempurna.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...