Chelsea menarik nafas lega apabila berjaya mengatasi tentangan sengit Arsenal sebelum mencipta kemenangan 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana England yang berlangsung di bawah cuaca bersalji di Stamford Brigde semalam.
Kemenangan itu sekali gus membantu Chelsea terus menghambat pendahulu liga, Manchester United dan Manchester City di tangga kedua.
Walaupun mendahului selesa 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Juan Mata dan penalti Frank Lampard, kelab bimbingan Rafa Benitez ini dipaksa bekerja keras dalam babak kedua untuk mempertahankan kedudukan itu.
Ini berikutan Arsenal mempamerkan kebangkitan sebaik permainan bersambung sehingga membolehkan mereka merapatkan jurang menerusi Theo Walcott.
Jaringan itu menaikkan semangat pemain-pemain Arsenal yang mengasak sehingga saat-saat akhir permainan untuk mencari gol penyamaan.
Namun, usaha pasukan pelawat itu tidak berhasil, sekali gus menghadiahkan kemenangan yang dicari-cari Chelsea selepas hanya seri 2-2 dengan Southampton pada Khamis lalu.
Dengan kemenangan itu, Chelsea kekal ketinggalan enam mata di belakang City untuk terus menghuni tangga ketiga liga.