12 Januari 2013

Penyokong Chelsea lancar 'serangan' terhadap Torres

Buat kali pertama, penyokong Chelsea melancarkan 'serangan' terhadap Fernando Torres selepas pasukan itu kalah 0-2 kepada Swansea pada separuh akhir pertama Piala Liga, Rabu lalu.


Penyerang Sepanyol itu tidak pernah lari daripada menjadi mangsa kritikan sejak menyertai kelab London itu dari Liverpool dengan bayaran rekod Britain, 50 juta pound (RM245 juta) pada Januari, 2011. 

Torres gagal mengulangi prestasi hebatnya bersama Liverpool selepas menyertai Chelsea.
Di Anfield, dia berjaya meledakkan 81 gol daripada 142 perlawanan, termasuk 33 gol pada musim pertamanya. Namun di Stamford Bridge, jumlah jaringan yang dihasilkan terlalu sedikit. 

Penyerang baru Chelsea, Demba Ba, yang dibeli dari Newcastle United minggu lalu menjaringkan dua gol dalam penampilan sulung bersama Blues ketika membantu pasukan itu menumpaskan Southampton 5-0 pada pusingan ketiga, Sabtu lalu.

Peminat melaungkan nama Ba sepanjang perlawanan dengan Swansea, sambil menyeru pengurus, Rafael Benitez supaya mengeluarkan Torres. 

"Kami mahu Demba Ba,'' kata peminat, sebelum Benitez akhirnya membawa masuk pemain antarabangsa Senegal itu pada minit ke-81 untuk menggantikan Torres.

"Torres bermain buruk. Ketika perlawanan berlangsung sengit, dia nampak seperti pemain yang tiada keyakinan. Dia bermain seperti takut... Kamu tidak boleh begitu,'' kata bekas penyerang Chelsea dan Ireland, Tony Cascarino kepada Sky Sports News. 

Torres tidak mengharungi musim yang menggembirakan di Chelsea, malah pernah menunggu lama sebelum berjaya menjaringkan gol buat Blues. 

Biarpun begitu, peminat masih menerimanya kerana Torres sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk bersaing dan berjuang, malah tahun lalu pemain Sepanyol itu memberitahu, dia amat terdesak untuk meyakinkan peminat.

"Sejak saya menyertai Chelsea, peminat sangat baik terhadap saya, jadi amat penting untuk saya membalas segala kepercayaan mereka. 

"Saya berjaya mengatasi tempoh paling sukar dalam karier saya. Saya pernah mendapat diri saya tiada dalam senarai pemain skuad untuk beberapa perlawanan, ia situasi yang tidak pernah saya alami sebelum ini.
"Satu-satunya perkara yang memberi harapan kepada saya, adalah sokongan orang ramai,'' kata Torres.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...