Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo yang menyaksikan permulaan sempurna musim baru Liga Perdana selepas pasukannya menang 2-0 ke atas Newcastle, pantas melaungkan amaran Blues akan mengerah segala keringat untuk memenangi Piala Super Eropah.
Jaringan Eden Hazard dan Fernando Torres cukup untuk mengatasi semangat melawan Newcastle dan juara Eropah itu kini akan berkunjung ke Monaco bagi perlawanan Piala Super menentang pemenang Liga Europa, Atletico Madrid, awal pagi Sabtu ini.
Perlawanan tahunan itu ingin dijadikan satu lagi kejayaan oleh Di Matteo sebagai tambahan kepada koleksi kejuaraan Piala FA dan Liga Juara-Juara dalam waktu singkat beliau menjadi pengurus Chelsea.
“Kami gembira beraksi di final Piala Super dengan tiga kemenangan dan setiap pemain berada dalam keadaan cergas, semoga kami dapat menang satu lagi trofi antarabangsa untuk kelab ini,” kata pengurus dari Itali itu.
“Saya anggap perlawanan ini serius dan bukannya perlawanan persahabatan. Ini adalah trofi Eropah yang kami idamkan dan saya tidak akan merehatkan pemain utama.”
Kapten John Terry terlepas aksi menentang Magpies kerana mengalami kecederaan dan dia sekali lagi terpaksa diketepikan pada perlawanan Piala Super kerana berdepan penggantungan satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona musim lalu.
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan