Pengurus England, Roy Hodgson mempertahankan Ashley Young dan Ashley Cole selepas mereka gagal menyempurnakan sepakan penalti yang menyebabkan pasukannya tewas kepada Itali pada suku akhir Euro 2012.
England gagal menandingi persembahan lawan hampir keseluruhan perlawanan terbabit yang berakhir tanpa sebarang gol selepas 120 minit sebelum Itali menang 4-2 penentuan sepakan penalti.
“Sesiapa saja boleh gagal. Bukannya mereka tidak mencuba bersungguh-sungguh,” kata Hodgson mengenai sepakan Young yang menggegar palang manakala rembatan Cole diselamatkan Gianluigi Buffon.
“Reputasi seseorang pemain tidak boleh ditentukan menerusi sepakan penalti sebaliknya berlandaskan empat perlawanan dan dalam empat perlawanan itu, kami tidak tewas.
“Kami beraksi mengikut perancangan hingga penghujung dan pemain harus berasa bangga dengan apa yang mereka lakukan.
“Saya banyak belajar mengenai keazaman dan dedikasi pemain terhadap tugas dan hakikatnya, mereka sangat berminat untuk untuk England.
“Persembahan yang mereka pamerkan begitu membanggakan, bukan saja malam ini (awal pagi semalam), namun dalam tiga perlawanan sebelum ini.” Penjaga gol England, Joe Hart gagal menyelamatkan sebarang sepakan penalti Itali menakala kegagalan Azzurri hanya rembatan Riccardo Montolivo yang tersasar.
“Saya yakin kami akan memenangi perlawanan ini,” kata Hart. “Saya diharap mempamerkan peningkatan tapi gagal menyelamatkan satu sepakanpun.
“Mereka lebih kerap mencipta peluang namun kami sangat teguh dan memberikan segala-galanya ketika bertahan.
“Saya berdepan penalti Mario Balotelli (rakan sepasukannya di Manchester City) ketika latihan dan yakin menghalang sepakannya namun dia mengambil penalti yang baik.
“Sudah pasti saya jangka mampu menyelamatkan sepakan penalti dan yakin tiada siapa mampu menewaskan saya.
“Akhirnya kami tewas, namun tiada pemain yang mengecewakan negara dan kami juga sudah menyesuaikan diri dengan baik bersama pengurus.” Hodgson mengarahkan pemain menjalani latihan sepakan penalti sebagai persediaan perlawanan itu dan berharap ia mampu membaiki rekod buruk England ketika penentuan penalti.
“Ketika perlawanan diheret ke sepakan penalti, saya harap kami akan menang. Namun latihan terbabit tidak banyak membantu kami dalam situasi ini,” katanya.
“Mungkin sudah ditentukan kami gagal menang sepakan penalti namun saya tidak boleh menyalahkan pemain.”[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan