Penjaga gol Republik Czech, Petr Cech mengakui pemain Portugal, Cristiano Ronaldo adalah penyerang yang luar biasa.
Cech melaungkan amaran kepada rakan sepasukannya agar berusaha untuk menyekat pergerakan bekas pemain bintang Manchester United itu ketika Czech menentang Portugal pada perlawanan pertama suku akhir Euro 2012 awal pagi esok.
Ronaldo akhirnya mempamer kehebatan sebenar ketika membantu Portugal menyingkirkan Belanda 2-1 dengan meledak dua gol pada perlawanan ketiga peringkat Kumpulan B, Isnin lalu.
"Saya telah berhadapan dengannya banyak kali dan saya dapat gunakan pengalaman saya itu. Adalah penting kami bekerja sebagai satu pasukan untuk menang.
"Dia (Ronaldo) adalah pemain yang bekerja keras untuk melakukan terbaik selain mempunyai sepakan bertenaga.
"Dia juga adalah pemain yang merbahaya kerana mampu melakukan jaringan melalui mana-mana kakinya dari mana-mana posisi.
"Sebagai pemain Chelsea, kami sentiasa berwaspada ketika berhadapan pemain itu ketika dia bersama Manchester United.
"Ia akan menjadi perlawanan penuh debaran, bukan kerana ruang yang bakal dilalui Ronaldo tetapi disebabkan kelajuan luar biasa pemain itu," kata Cech.
Cech juga membuktikan prestasi cemerlangnya ketika menentang Poland bagi membantu Czech melangkah ke suku akhir sebagai pemenang Kumpulan A.
Sementara itu, jurulatih Czech, Michal Bilek berkata, beberapa pemain Portugal mempunyai kelebihan kemahiran individu terutama pada Ronaldo dan Nani.
"Kami jangkakan ia adalah perlawanan yang sukar namun kami tetap akan menghadapinya selain cuba untuk mengawal pemain seperti Ronaldo.
"Kami telah mempamer peningkatan dan memenangi dua perlawanan untuk memperoleh kepuasan tersendiri," kata Bilek.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan