Raul Meireles membayangkan Portugal boleh meniru cara Chelsea untuk menjuarai Euro 2012 ketika kelabnya itu memenangi Liga Juara-Juara sekalipun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan.
Pemain tengah berusia 29 tahun itu yang melalui musim sulung mengagumkan bersama Chelsea selepas perpindahannya dari Liverpool apabila memenangi Liga Juara-Juara selain Piala FA berkata, pertembungan suku akhir menentang Republik Czech awal pagi esok pasti sengit.
Namun bekas bintang Porto yang memenangi empat kejuaraan liga berturut-turut sebelum berhijrah ke Liverpool pada 2010 berkata, pengalamannya bersama Chelsea dalam kancah Liga Juara-Juara memberikannya perasaan sama seperti bersama Portugal pada masa ini.
“Chelsea memenangi Liga Juara-Juara meskipun tiada siapa menganggap kami sebagai pilihan,” katanya merujuk kepada kemenangan penentuan sepakan penalti ke atas Bayern Munich.
“Apabila kami memulakan kejohanan ini, tiada siapa menyebut Portugal sebagai pasukan pilihan.
“Contoh terbaik bagi saya adalah apa yang saya alami bersama Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara. Jika berjaya melakukannya, ia pasti mimpi menjadi kenyataan.”
Namun, Meireles mengaku Czech yang bangkit daripada kekalahan 1-4 di tangan Russia pada perlawanan pertama tapi layak ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Sebenarnya tiada pasukan pilihan kerana Jerman dan Belanda menjadi pilihan kumpulan kami, tapi kami yang layak,” kata Meireles yang akan bertembung dengan rakan sepasukannya di Chelsea, Petr Cech.
“Kami menyaksikan beberapa perlawanan mereka. Mereka tidak bermula dengan bagus, seperti kami (Portugal kecundang 0-1 kepada Jerman) tapi mereka bangkit dengan cemerlang.
“Kami jangkakan saingan sengit, ia perlawanan yang sukar tapi kami akan melakukan apa yang terdaya untuk mengatasi kekuatan mereka di padang.”[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan