16 April 2013

Benitez salahkan pengadil

Rafael Benitez menegaskan, kegagalan pengadil membuat dua keputusan yang tepat menjadi punca kekalahan 1-2 Chelsea kepada Manchester City dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley kelmarin.


Pada aksi tersebut, City yang mendominasi permainan, mendahului 2-0 menerusi jaringan Samir Nasri dan Sergio Aguero sebelum The Blues merapatkan kedudukan hasil jaringan Demba Ba minit ke-66.

Apa yang mengecewakan Benitez, Aguero terlepas hukuman daripada pengadil selepas memijak pertahanan Chelsea, David Luiz manakala tindakan pemain pertahanan, Vincent Kompany tidak mendapat perhatian pengadil untuk menghadiahkan penalti kepada The Blues walaupun jelas dia mengasari Fernando Torres di dalam kotak penalti.

Pengurus sementara Chelsea itu berkata: "Adakah ia sepatutnya penalti? Ya, jelas sekali.
"Keputusan pengadil yang enggan memberi penalti kepada kami menjadi punca utama kekalahan kami, malah Vincent Kompany juga sepatutnya dibuang padang.

"Kamu boleh gambarkan sendiri situasi tersebut. Ada dua keputusan yang teruk dibuat oleh pengadil pada babak kedua.

"Kami beraksi menentang sebuah pasukan yang bagus. Jika mereka menjaringkan satu lagi gol, permainan ini mungkin sudah berakhir.

"Namun, kami terus mencuba dan memiliki peluang kembali semula dalam permainan, jadi keputusan pengadil ini banyak memainkan peranan."

Benitez juga mendedahkan bahawa kemasukan Torres telah memberinya harapan untuk melihat Chelsea bangkit dalam pertemuan tersebut.

"Saya hanya kecewa dengan keputusan (pengadil) ini sahaja. Apabila Fernando masuk, pasukan kami beraksi lebih bertenaga.

"Kalau kamu lihat persembahan kami pada babak kedua, kamu boleh lihat bahawa semua pemain ini mampu beraksi dengan baik dalam baki saingan musim ini.

"Kamu boleh lihat sendiri yang kami memiliki tenaga, kualiti dan juga keinginan melakukannya," katanya.[kosmo]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...