Didier Drogba memahat namanya dalam catatan sejarah Chelsea apabila meledak gol ke-150 peribadi untuk kelabnya itu kelmarin tapi ia masih belum cukup untuk mengelak mereka daripada tewas 1-3 kepada Aston Villa di tempat sendiri pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).Penyerang berusia 33 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti sekali gus membantu pemain antarabangsa Ivory Coast itu menyamai rekod legenda di Stamford Bridge iaitu Peter Osgood dan Roy Bentley dengan jumlah jaringan sama.
Selepas menyempurnakan sepakan penalti, Drogba dilihat melambai ke arah penyokong kelab itu. Hanya Frank Lampard (178 gol), Kerry Dixon (193) dan Bobby Tambling (202) mengatasi rekod jaringannya untuk kelab London itu.
“Ia adalah jaringan yang penuh emosi untuk Drogba dan mungkin juga penampilan terakhirnya sebelum mewakili negaranya untuk saingan Piala Negara-Negara Afrika,” kata pengurus, Andre Villas-Boas.
“Kami akan cuba yang terbaik untuk membolehkannya diturunkan pada pertemuan dengan Portsmouth di saingan Piala FA pada 8 Januari ini,” katanya.
Sebelum perlawanan dengan Villa, Drogba berkata, andai dia berjaya meledak gol ke-150 untuk pasukannya, ia adalah hadiah Krismas untuk penyokong kelab berkenaan tapi kekalahan Chelsea menyebabkan penyokong mengejek pasukan mereka selepas wisel penamat ditiup.
Harapan Chelsea untuk merangkul gelaran musim ini nampaknya sudah berakhir selepas mereka jatuh ke tangga kelima liga dan ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Manchester City.
Masa depan Drogba di Stamford Bridge turut menjadi tanda tanya selepas Villas-Boas berkata, perbincangan untuk melanjutkan kontraknya masih belum menemui jalan penyelesaian.
Villa-Boas menambah, pemain itu bebas untuk berbincang dengan kelab lain pada bulan ini kerana kontraknya berakhir pada penghujung tahun 2011.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan