Penyerang Chelsea, Didier Drogba tidak akan bersama pasukan itu ke Sunderland hari ini dan dijangka akan diketepikan pada aksi menentang Manchester United dalam perlawanan seterusnya Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford.
Pemain berusia 33 tahun itu mengalami gegaran kepala selepas terbabit dalam perlanggaran ketika Chelsea menang ke atas Norwich City hingga pengsan dan sehingga kini dia masih tidak turun ke sesi latihan penuh sejak EPL berehat untuk saingan antarabangsa.
Pengurus kelab itu Andre Villas-Boas mengesahkan Drogba juga akan disisihkan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Bayer Leverkusen minggu depan.“Pasukan perubatan akan memantau perkembangannya sehingga pulih sepenuhnya dan kembali berlatih,” kata Villas-Boas.
“Dalam sesi latihan ringan bersama fisio kami, dia melakukannya dengan baik. Kami akan sama-sama bekerja keras untuk memastikannya kembali pada perlawanan menentang MU. Saya tidak rasa dia boleh beraksi menentang Leverkusen,” kata Villas-Boas.
Ketiadaan Drogba bermakna Fernando Torres akan berada dalam kesebelasan Chelsea bagi dua perlawanan berturut-turut musim ini sekali gus memberinya peluang untuk mengubati rasa kecewa selepas diketepikan daripada skuad Sepanyol untuk perlawanan kelayakan Euro 2012 menentang Liechtenstein beberapa hari lalu.
Daniel Sturridge yang dipinjamkan ke Bolton musim lalu juga dijangka mendapat perhatian pengurus itu selepas kembali daripada penggantungan.“Sturridge tidak pernah berhenti berlatih sejak dia kembali,” kata Villas-Boas.
“Dia amat kompetitif semasa latihan. Anda pernah lihat dia boleh bermain dengan baik pada pramusim dan ketika bersama Bolton. Kehadirannya adalah satu pilihan untuk memperkuatkan pasukan.” Skuad Villas-Boas mengakhiri musim perpindahan pemain dengan membawa masuk Raul Meireles dari Liverpool manakala Yossi Benayoun meninggalkan kelab itu untuk ke Arsenal.
“Kami bercakap mengenai keperluan mengisi ruang di bahagian tengah dan membawa masuk pemain tambahan,” katanya.
Kini Villas-Boas perlu menyuntik semangat kepada pasukan untuk melontarkan cabaran kepada Manchester United dan Manchester City yang bermula dengan cemerlang musim ini.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan