23 September 2011

Anelka sahut cabaran

BANYAK tumpuan diberikan kepada usaha Chelsea merekrut pemain muda musim ini, tanda Andre
Villas-Boas merombak skuad yang kelihatan berusia.Antara yang mungkin menjadi mangsa polisi ini adalah pemain berusia 32 tahun, Nicolas Anelka tetapi dia menyahut cabaran baru itu dengan mempamerkan persembahan mengagumkan pada musim baru setakat ini.



Penyerang itu perlu sentiasa membuktikan kemampuannya di Stamford Bridge sejak tiba di kelab itu pada Januari 2008 dan terus mengulanginya ketika tampil sebagai pemain gantian sewaktu berada di Old Trafford, Ahad lalu untuk membuktikan bahawa masih banyak yang mampu disumbangkan untuk kelab itu.

Dia yang diturunkan pada separuh masa kedua ketika Chelsea ketinggalan 3-0 berjaya menghadirkan gol apabila hantaran ke belakang disambut Fernando Torres yang berjaya mengatasi penjaga gol Manchester United, David De Gea.


Biarpun tiada gol menyusul, persembahan mereka di laman pasukan juara itu memberi harapan baru untuk saingan musim ini dan Anelka masih berpeluang menjadi watak utama.

“Ia sesuatu yang sukar apabila anda ketinggalan 3-0 tetapi Fernando melakukan gerakan yang baik, saya melihatnya dan cuba membuka ruang buatnya menjaringkan gol dan ia terus menjadi, cukup hebat,” katanya.

“Ia satu hantaran yang bijak tetapi dia melakukan gerakan yang baik, saya perlu mengawal tenaga untuk melakukan hantaran itu dan segala-galanya tampak sempurna. Gerakan seperti ini saya sering lakukan ketika memegang posisi penyerang jadi saya tahu apa yang diperlukan Fernando dan bagaimana dia mahu menjaringkan gol kerana saya juga sama sepertinya. Ia menjadikan hantaran kepadanya menjadi lebih tepat.”

Sesiapa yang pernah menyaksikan Anelka beraksi di depan pertahanan akan melihat persamaan antara pemain itu dan pemain nombor sembilan Sepanyol itu tetapi pemain Perancis itu mempunyai kelebihan tersendiri.

“Kami hampir mempunyai peranan sama tetapi dengan peredaran masa saya berusaha melakukan lebih lagi, cuba turun untuk membantu bahagian tengah tetapi ia masih permainan yang sama.

“Ketika usia saya sama sepertinya, saya sudah melakukan semua itu tetapi saya mempelajari dalam bola sepak Sepanyol, juga Turki dan Perancis untuk bermain dengan cara berbeza apabila gagal mendapatkan bola dan anda mengubah corak permainan untuk mendapatkan bola.

“Ia sesuatu yang bagus untuk saya bermain dengan cara berbeza, Madrid cukup sukar bagi saya tetapi pada akhirnya banyak yang saya belajar biarpun meninggalkan kelab itu selepas setahun.”

Sudah empat tahun sejak dia berpindah ke barat London dan menyaksikan skuad itu mula berubah menjadi gabungan seperti dimiliki sekarang. Dia mengakui begitu mudah untuk berasa tua apabila memandang sekelilingnya terutamanya apabila diberitahu bahawa penyerang berusia 18 tahun, Romelu Lukaku pernah menampal poster Anelka di bilik tidurnya.

“Membawa masuk pemain muda adalah sesuatu yang baik untuk Chelsea, anda masih perlukan kualiti tetapi secara keseluruhannya ia cukup bagus. “Ada di antara kami semakin berusia dan kehadiran muka baru adalah dialu-alukan. Sudah tentu andaperlukan beberapa pemain berpengalaman dan kami masih di sini, bergabung antara generasi lama dan baru,” katanya.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...