Ketua pasukan Chelsea, John Terry akan kembali memperkukuhkan 
benteng pertahanan pasukannya menjelang perlawanan Liga Juara-Juara 
menentang Shakhtar Donetsk esok.
Perlawanan itu juga merupakan satu misi 'membalas dendam' kekalahan 
Chelsea kepada kelab dari Ukraine itu bulan lalu bagi mencerah kembali 
peluang menerajui Kumpulan E.
Kelab London itu meledak 10 gol dalam empat perlawanan setakat ini 
yang menyaksikan ketiadaan Terry akibat penggantungan perlawanan kerana 
kesalahan mengeluarkan kata berbaur perkauman terhadap pertahanan Queen 
Park Rangers, Anton Ferdinand. 
"John merupakan pemain terpenting buat pasukan dan sudah tentu dia 
merupakan pemain pertahanan yang hebat dan apabila dia bermain, dia 
pasti akan memberikan yang terbaik.
"Pemain lain juga telah melakukan tugas yang menakjubkan semasa 
ketiadaannya tetapi dia tetap pemain yang kami rindui," kata pengurus 
Chelsea, Roberto Di Matteo.
Terry dan barisan pemain pertahanan lain perlu mempamer persembahan 
terbaik menentang Shakhtar nanti kerana pasukan itu telah memalukan 
barisan bintang Chelsea dengan menang 2-1 di Ukraine dua minggu lalu.
Pasukan kendalian Di Matteo itu memulakan musim ini dengan penuh 
bergaya apabila memenangi tujuh daripada lapan perlawanan dalam Liga 
Perdana England (EPL) tetapi keyakinan mereka mula luntur apabila 
diaibkan Shakhtar.
Chelsea tumpas buat pertama kali dalam EPL kepada Manchester United 
lima hari lalu sebelum sekali lagi terpaksa bergelut untuk mencatat 
kemenangan tipis 5-4 ke atas lawan yang sama dalam saingan Piala Liga di
 Stamford Bridge pada 31 Oktober.
Di Matteo yang kehilangan Terry, Frank Lampard, David Luiz, dan Juan 
Mata dalam perlawanan EPL, Sabtu lalu sekali lagi dikejutkan dengan 
keputusan seri 1-1 ketika bertandang ke Swansea City, sekali gus memberi
 peluang kepada United merampas kedudukan takhta liga.
Mujur perancang Sepanyol, Mata mempamerkan persembahan bertenaga 
sepanjang musim ini di samping dua muka baharu, Oscar dan Eden Hazard 
yang juga merupakan penjaring terbanyak kelab dengan tujuh gol.
Mata yang terlepas peluang beraksi ketika menentang Swansea akibat 
kecederaan hamstring dilaporkan akan turun dalam perlawanan menentang 
Shakhtar di Stamford Bridge.
Chelsea kini tiga mata di belakang Shaktar yang menerajui kumpulan, diikuti Juventus di tempat ketiga.Jurulatih Shakhtar, Mircea Lucescu dijangka merehatkan beberapa 
pemain utama selepas pendahulu Liga Ukraine itu mencatat kemenangan 
ke-14 daripada 14 perlawanan musim ini dan terbaharu menewaskan Metalurg
 Zaporizhya 2-0.[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan