16 Jun 2012

Torres nadi La Roja

Wira Sepanyol, Fernando Torres menganggap negaranya kini kembali ke landasan tepat memenuhi impian layak ke suku akhir Euro 2012 selepas membelasah Ireland, 4-0, awal pagi semalam.


Jurulatih Vicente Del Bosque menyenarai semula penyerang itu dalam barisan kesebelasan utama selepas tidak menyenaraikan penyerang sejati ketika seri 1-1 dengan Itali yang menyaksikan Cesc Fabregas menjaringkan gol.

Fabregas turut menjaringkan gol sekali lagi apabila masuk menggantikan Torres tapi hanya selepas bintang Chelsea itu menjaringkan dua gol yang sekali gus membayangkan dia mungkin sudah menemui semula sentuhan berbisanya selepas musim sukar di Stamford Bridge walaupun berakhir dengan kejayaan Liga Juara-Juara.

“Perdebatan mengenai nombor sembilan akan berterusan,” kata Torres kepada televisyen Telecinco. “Sistem ini berkesan hari ini (semalam) dan sebelum ini ia berkesan dengan Cesc. Yang menariknya, Sepanyol memiliki ramai pemain yang boleh mengisi banyak posisi,” katanya.

Del Bosque berkata: “Torres tahu bagaimana mencari ruang, ia perlawanan yang sempurna dan ramai orang berkata, dia sepatutnya bermain perlawanan pertama tapi itu tidak penting. Yang penting, kami mempunyai satu sistem dan menunjukkan yang ia berkesan.

“Ramai beranggapan untuk mempunyai seorang penyerang penting dan ia sememangnya penting buat kami tapi lebih penting adalah memenangi perlawanan.

“Kami dikritik kerana menggunakan sistem ini tapi kini ia terbukti menjadi. Kami mempunyai 23 pemain yang kerap turun bermain untuk kelab masing-masing dan kami mempunyai banyak pilihan, kami menguasai 65 peratus bola.” 

“Saya tidak fikir anda boleh berasa tenang dalam sebarang kejohanan tapi keputusan ini melonjakkan kami. Kami pernah berdepan situasi bahaya tapi pasukan ini bermain baik dan kini kami semakin kuat.

“Pemain Ireland bertahan dengan bagus tapi kami menunjukkan yang kami lebih selesa setiap kali menguasai bola. Kami boleh membuat percubaan dan menjaringkan gol dan itulah yang ditunjukkan dalam perlawanan itu.” 

Pertahanan Sepanyol, Gerard Pique berkata, lebih gembira dengan cara kemenangan itu dicapai tapi lebih penting lagi adalah keputusan perlawanan itu.“Tiga mata daripada perlawanan hari ini penting buat kami,” kata pemain Barcelona itu.

Mengimbau perlawanan menentang Itali, Pique pantas mengaku kejayaan Sepanyol memenangi kejohanan 2008 buat kali kedua selepas 1964 menyebabkannya semakin sukar untuk memenangi hati semua pihak.

“Empat tahun lalu, seri dengan Itali boleh dianggap keputusan baik. Hari ini, mereka tampak tidak mampu bersabar.”[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...