Perancang Chelsea, Frank Lampard mengakui, skuad The Blues akan  mengharungi pertarungan ‘hidup atau mati’ apabila berdepan Barcelona  pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara.
Chelsea akan menanti kunjungan penyandang juara itu di Stamford Bridge awal pagi Khamis depan bagi aksi separuh akhir pertama.
Seandainya mereka mampu menangani ancaman peledak berbisa Barcelona,  Lionel Messi dan rakan-rakan sepasukannya, Chelsea mungkin akan bertemu  Real Madrid yang diramal tidak menghadapi masalah mara ke pentas final  bulan depan.
Bagaimanapun, Lampard sedar tugas mereka untuk layak ke aksi final  Liga Juara-Juara di Stadium Allianz Arena, Munich itu bukannya mudah.
“Kami berdepan satu perjuangan yang penting tidak lama lagi kerana kami akan bermain menentang pasukan terbaik di dunia.
“Namun, saya percaya dengan barisan pemain yang kami miliki dan aksi  yang ditunjukkan baru-baru ini, kami mempunyai kekuatan untuk  melakukannya,” kata Lampard.
Terdahulu, impian Chelsea dalam kempen Liga Juara-Juara dilihat  hampir berkubur setelah tumpas 1-3 kepada Napoli pada aksi pertama  pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, The Blues berjaya bangkit untuk menang 4-1 di Stamford  Bridge, sekali gus mara ke suku akhir sebelum menyingkirkan Benfica  dalam perebutan slot ke separuh akhir.
“Kami sedar kami perlu meningkatkan tahap permainan kami apabila turun berdepan Barcelona dan Messi,” kata Lampard.
“Napoli telah menewaskan kami dan prestasi kami dalam liga juga tidak  begitu bagus tetapi kami mula mendapat semula rentak kejayaan, jadi  mengapa tidak boleh kami kalahkan Barca?”[sumber]
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan