4 April 2012

Chelsea tagih bisa Torres lawan benfica

Fernando Torres yang kembali menemui sentuhan berbisanya dijangka akan mengetuai barisan serangan Chelsea awal pagi esok apabila mereka berhajat menyingkirkan Benfica bagi melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara kali keenam dalam tempoh sembilan tahun.

Torres, 28, yang menjaringkan gol pertama Liga Perdana sejak September lalu ketika menang 4-2, Sabtu lalu di Aston Villa sudah menyumbat tiga gol dalam empat perlawanan terakhir dan bakal menjadi pertaruhan terbaik ketika ketiadaan Didier Drogba yang dihimpit kecederaan.

Peningkatan prestasi penyerang Sepanyol itu menyuntik semangat Chelsea apabila dia menjadi pencipta gerakan gol termasuk ketika Salomon Kalou menyumbat gol kemenangan untuk menewaskan Benfica 1-0 pada suku akhir pertama, minggu lalu.

“Fernando bermain dengan baik walaupun tidak menjaringkan gol kerana dia membantu rakan sepasukan menyumbat gol,” kata pengurus sementara, Roberto Di Matteo.

“Dia bekerja keras untuk pasukan. Dia kini gembira bermain dan semakin yakin.” Bintang Ivory Coast, Drogba, 34, yang mengalami kecederaan jari kaki pada sesi latihan Jumaat lalu bergelut untuk kembali cergas bagi perlawanan awal pagi esok selain pemain pertahanan tengah Brazil, David Luiz.

Bekas pemain Benfica, Luiz mengalami kecederaan buku lali di Villa Park dan dijangka akan digantikan dengan pemain antarabangsa England, Gary Cahill.

Chelsea hanya kalah sekali dalam lapan perlawanan sejak pengendali dari Itali, Di Matteo mengambil alih tugas Andre Villas-Boas yang dipecat bulan lalu.

Kelab London itu mencatat enam kemenangan dalam tempoh itu sekali gus menghidupkan pemburuan kejuaraan Liga Juara-Juara dan Piala FA di mana mereka akan membuat perhitungan dengan Tottenham Hotspur pada separuh akhir bulan ini.Prestasi memberangsangkan itu juga membolehkan Chelsea menghuni tangga kelima liga.

Chelsea kini berusaha untuk mengekalkan rekod bersih empat kemenangan di laman sendiri dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini menentang anak buah Jorge Jesus yang menyingkirkan Braga di tangga teratas Liga Portugal minggu lalu. Benfica kini menduduki tangga kedua di belakang Porto.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...