Jaringan tunggal Didier Drogba membantu Chelsea mengejutkan juara bertahan, Barcelona, 1-0 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Drogba menghidupkan impian Chelsea mara ke final pertama sejak 2008 menjelang pertemuan timbal balik di Nou Camp minggu depan selepas meledak gol pada hujung babak pertama dengan Barcelona mengalami kekalahan pertama di Eropah, musim ini.
Gol Drogba adalah percubaan tepat tunggal buat Chelsea pada perlawanan itu dengan Barcelona mencipta peluang bertali-arus namun dinafikan dengan corak bertahan lawan dari Liga Perdana Inggeris itu.“Ia keputusan yang bagus. Kini kami hadir ke sana untuk cuba dan layak,” kata Drogba.
“Saya gembira beraksi dalam perlawanan ini. Kami mengharungi tempoh yang sukar namun kini memenangi perlawanan.” Kapten pasukan, John Terry berkata, persembahan dipamer Chelsea adalah yang terbaik pada pertandingan itu setakat ini.
“Kami perlu banyak bersabar. Mereka lawan yang hebat dan kami perlu bekerja keras di bahagian tengah,” kata Terry. “Didier mempamerkan persembahan bertenaga. Dia beraksi seperti Trojan.” Chelsea mendahului pada masa kecederaan babak pertama ketika lawan mendominasi hampir sepenuh perlawanan.
Frank Lampard melakukan hantaran hebat melintasi garisan tengah kepada Ramires di bahagian sayap kiri dan pemain Brazil itu melakukan hantaran lintang dalam kotak penalti kepada Drogba yang melakukan sepakan leret melepasi penjaga gol Barca, Victor Valdes.
Sebelum itu, Chelsea banyak bertahan ketika Barcelona mendominasi perlawanan untuk tempoh yang lama dengan corak hantaran pendek dan pantas yang biasa dipamerkan.
Kelab Catalan itu sepatutnya mendahului seawal minit kesembilan apabila Andres Iniesta menghantar bola kepada Alexis Sanchez namun cubaan pemain antarabangsa Chile itu singgah di palang sekalipun penjaga gol Chelsea, Petr Cech sudah tertewas.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan