11 November 2011

Cech dapat topeng muka baru

Penjaga gol, Petr Cech sudah mencuba rekaan topeng muka khas untuknya bagi melindungi tulang hidungnya yang patah dan ia membolehkannya memakai topeng muka itu apabila Republik Czech bertemu Montenegro pada pusingan kalah mati Euro 2012, awal pagi esok.Pemain Chelsea itu bagaimanapun tidak pasti akan diturunkan pada pusingan pertama perlawanan kalah mati itu.


“Jika perlawanan berlangsung hari ini (semalam), saya pasti tidak dapat bermain,” kata Cech yang mengalami kecederaan patah tulang hidung ketika bertemu Blackburn Rovers pada saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.“Topeng ini akan membantu untuk melindungi saya daripada ditimpa kecederaan lebih teruk tetapi jika tidak cergas sepenuhnya, saya tidak tahu kedudukan saya. Pada perlawanan kalah mati, anda perlu cergas sepenuhnya.” 

Jurulatih Czech, Michal Bilek yang sudah tidak dapat menggunakan pemain tengah, Tomas Hubschman kerana digantung perlawanan berkata: “Saya harap Cech dapat diturunkan. Kehadirannya di padang sangat penting buat kami kerana dia adalah salah satu penjaga gol terbaik dunia.” Jika Cech tidak dapat bermain, Bilek dijangka menggunakan khidmat penjaga gawang Hamburg SV, Jaroslav Drobny yang diturunkan ketika Czech seri 2-2 dengan Scotland pada pusingan kelayakan.

Montenegro pula yang berharap dapat melangkah ke perlawanan Euro buat kali pertama sejak berpisah dengan Serbia pada 2006 turut berdepan masalah kecederaan membabitkan pemain pertahanannya, Marko Basa yang mengalami masalah pada bahagian bahu.

Jurulatih, Branko Brnovic turut menyenaraikan pemain tengah DC United, Branko Boskovic yang diharap dapat merencana bahagian tengah dengan baik walaupun pemain berusia 31 tahun itu diketepikan selama setahun kerana kecederaan lutut.

 Boskovic menggantikan pemain Olympiakos, Petar Grbic pada perlawanan dengan Montenegro selain turut mengharapkan anak buahnya dapat menyekat kemaraan perancang Republik Czech, Tomas Rosicky.[sumber]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...