9 Jun 2011

Chelsea tawar Drogba kontrak




Didier Drogba
Penyerang Chelsea, Didier Drogba bakal ditawarkan kontrak baru yang akan menyaksikan dia menamatkan karier bola sepak di Stamford Bridge. Pemain antarabangsa Ivory Coast itu sebelum ini dikatakan akan meninggalkan skuad Blues pada musim panas ini ekoran pembelian penyerang Sepanyol, Fernando Torres dari Liverpool, Januari lalu.

Pemilik kelab, Roman Abramovich dipercayai mempunyai perancangan untuk melepaskan pemain-pemain lama seperti Drogba dan Nicolas Anelka atas faktor usia bagi memberi laluan kepada pemain lebih muda seperti penyerang sensasi Brazil, Neymar.
Akhbar tempatan, The Sun bagaimanapun melaporkan, sumber dalaman Chelsea mendedahkan bahawa keutamaan mereka adalah mengekalkan pemain berusia 33 tahun itu, selain mencari pengurus baru menggantikan Carlo Ancelotti.
"Sebaik jurulatih baru dilantik, perkara pertama yang akan berlaku adalah memastikan Didier Drogba menyambung kontrak baru.
"Tidak mungkin kelab ini mahu dia pergi, dia antara penyerang terbaik di dunia,'' menurut sumber tersebut.
Malah, sumber berkenaan turut menegaskan, Drogba memainkan peranan yang amat penting, terutama ketika Torres bergelut dengan prestasi dan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan Chelsea.
"Boleh anda bayangkan keadaan jika Didier dijual dan Torres terus bergelut? Keputusan telah dibuat, adalah lebih baik mengekalkan kedua-duanya,'' kata sumber itu lagi.
Drogba yang masih mempunyai kontrak setahun daripada perjanjian bernilai 130,000 pound (RM646,000) seminggu telah dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid atau Tottenham.
Seandainya benar Chelsea mahu mengekalkannya, maka pemain itu mungkin berada di Stamford Bridge sehingga 2013 dengan gaji yang meningkat.

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...