15 Jun 2011

Chelsea belum buat keputusan

Ketua eksekutif Chelsea, Ron Gourlay yakin kelab itu semakin hampir mendapat pengurus baru namun enggan menjelaskan sama ada Guus Hiddink akan kembali ke Stamford Bridge.Selepas Carlo Ancelotti dipecat pada hujung musim lalu, jurulatih Turki, Guus Hiddink dilapor akan mengisi jawatan dipikul secara sementara pada 2009.


Pengendali dari Belanda berusia 64 tahun itu membimbing Chelsea merangkul Piala FA dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dalam tempoh singkatnya selama dua tahun lalu dan terus mempunyai hubungan baik dengan pemilik Roman Abramovich.Gourlay masih belum mahu mengumumkan mengenai pelantikan itu namun percaya pengumuman akan dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi kerana kelab itu mahu mendapatkan pengurus baru sebelum mereka mengadakan jelajah pra musim Asia bulan depan.

“Kami berdepan musim yang mencabar. Apa yang kami harapkan musim lalu tidak menjadi kenyataan dan kami membuat perancangan rapi untuk memenangi semula trofi musim depan,” kata Gourlay yang kini berada di Hong Kong untuk mempromosi kempen Chelsea “Here to Play, Here to Stay “ dalam usaha membangunkan bola sepak peringkat akar umbi di benua ini.

“Mengenai pelantikan pengurus baru, segala urusan berjalan lancar namun belum masanya untuk saya membuat ulasan mengenai siapakah pengurus baru. Kami akan mengumumkan perkara ini seperti yang dilakukan sebelum ini tapi saya harap dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi, kami sudah bersedia untuk mengumumkan pengurus baru kami.


“Saya fikir tidak sesuai untuk saya memberi ulasan ketika ini. Saya tidak mahu mencetuskan sebarang spekulasi, kami akan membuat pengumuman apabila bersedia dan kita akan tahu siapakah pengurus baru yang akan tiba bulan depan.” Dengan Chelsea menamatkan saingan musim lalu tanpa sebarang trofi, pengurus baru itu dikatakan bakal mendapat dana mencukupi untuk mengukuhkan skuad yang dibarisi ramai pemain yang sudah berusia.

Gourlay, bagaimanapun percaya, mereka tidak akan membawa masuk ramai pemain baru.
“Saya difahamkan, teras utama pasukan ini tetap sama musim depan,” katanya. “Mungkin kami akan mendapatkan dua atau tiga pemain saja. Kami sudah kenalpasti pemain utama yang mahu kami beli, pemain yang boleh menguatkan pasukan namun kami kena tunggu sehingga pengurus baru sampai.”[Metro]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...