4 Mei 2015

Chelsea sah juara Liga Perdana England 2014/15

Chelsea mengesahkan status sebagai skuad juara Liga Perdana England musim ini selepas menundukkan Crystal Palace 1-0 di Stamford Bridge malam tadi.

Kali terakhir Chelsea menjulang trofi Liga Perdana England ialah pada musim 2009/10 ketika dibimbing Carlo Ancelotti yang kini mengendalikan Real Madrid.
Kejayaan malam tadi sekali gus menjadi kejuaraan kelima diraih The Blues selepas menjulang trofi berprestij tersebut pada kempen 1954/55, 2004/05, 2005/06 dan 2009/10.
Skuad bimbingan Jose Mourinho ternyata bukan saingan Crystal Palace apabila mereka memperlihatkan dominasi menerusi 65 peratus penguasaan bola serta enam percubaan tepat.
Bagaimanapun, Chelsea dilihat buntu untuk mencipta jaringan pada aksi babak pertama walaupun memiliki beberapa peluang menjaringkan gol.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-45, tonggak sayap serta penerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA, Eden Hazard muncul wira The Blues apabila menjaringkan gol kemenangan.
Bersambung pada babak kedua, Chelsea melancarkan lebih banyak asakan ke kubu Crystal Palace bagi memburu gol kedua.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-81 menerusi percubaan Didier Drogba, namun sepakan kencang oleh penyerang veteran itu hanya tersasar ke tepi tiang gol dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Pada 1 Mac lalu, The Blues menjulang trofi pertama musim ini selepas menundukkan Tottenham Hotspurs 2-0 dalam aksi final Piala Capital One.
Kejayaan menjuarai Liga Perdana England untuk musim ini membolehkan Mourinho menebus kekecewaan musim lalu apabila gagal meraih sebarang gelaran.
Sebagai rekod terdahulu, Mourinho berjaya membimbing Chelsea menjulang trofi liga pada musim 2004/05 dan 2005/06. Jurulatih dari Portugal itu kembali ke pangkuan Chelsea pada musim 2013/14 selepas meninggalkan Real Madrid yang dibimbingnya selama empat tahun bermula 2010.
Chelsea masih memiliki baki tiga perlawanan musim ini dan dijadualkan menentang Liverpool, West Bromwich Albion dan Sunderland.[sumber]


0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...