Ancelotti sedar peranan pengadil Howard Webb pasti penting ketika pasukannya mengintai kemenangan di Old Trafford malam ini yang akan meletakkan mereka dalam situasi terbaik mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Ferguson percaya Chelsea mendapat manfaat daripada kesilapan pegawai perlawanan dalam tiga pertemuan liga terakhir dengan Blues dan beliau dikenakan penggantungan lima perlawanan daripada duduk di bangku pemain simpanan selepas melancarkan serangan hebat ke atas pengadil Martin Atkinson berikutan kekalahan United 1-2 di Stamford Bridge, Mac lalu.
Pengendali berbangsa Scotland itu tidak pernah segan silu mengkritik pegawai perlawanan dan sering menggunakan sidang akhbar untuk menekan pengadil sebelum perlawanan besar.
Namun Ancelotti percaya sikap sebegitu tidak melambangkan imej yang baik dalam sukan itu dan beliau tidak berganjak dengan pendiriannya bahawa pengurus tidak mendapat apa-apa sekiranya meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pegawai perlawanan.
“Anda tidak mendapat sebarang kelebihan bercakap menentang pengadil. Keputusan sudah dilakukan,” kata Ancelotti.
“Juga bagi imej bola sepak anda ada tanggungjawab sosial. Bagi kanak-kanak yang melihat anda sebagai idola, imej dalam dan luar padang adalah penting.
“Kadang-kadang apabila sesuatu tidak bagus anda bercakap mengenai perkara yang tidak menyebelahi anda.
“Jika pengadil kurang berpengalaman anda mungkin boleh bimbang mengenainya tapi dengan Webb tidak ada masalah.
“Saya yakin dengan pengadil di England. Mereka membuat kesilapan tapi ini biasa, anda perlu menerimanya atau anda terpaksa berkata ia satu konspirasi dan saya tidak percaya mengenainya.”
Kemenangan buat Chelsea malam ini bermakna Blues akan merampas tangga teratas, di depan United menerusi perbezaan jaringan dengan berbaki dua perlawanan, manakala kemenangan buat anak buah Ferguson menyaksikan mereka memerlukan satu mata saja untuk meraih rekod kejuaraan kali ke-19.
Ancelotti percaya pasukannya memiliki kelebihan psikologi ke atas United, kelab gergasi yang terdesak untuk melepaskan tangga pertama selepas mendahului dengan perbezaan 15 mata di depan Chelsea pada satu ketika.
“Secara mental kami ada kelebihan kerana saya fikir Man United berharap mereka tidak perlu bermain perlawanan sebegini menentang kami,” kata Ancelotti.[Metro]
*Alex Ferguson dah cuak tu dia tekan pengadil..hehehe
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan