2 Mei 2011

Chelsea berpeluang pintas MU

Kalou muncul wira jaring gol kemenangan

LONDON: Chelsea menundukkan Tottenham Hotspur 2-1 untuk mengekalkan harapan dalam Liga Perdana Inggeris, melalui satu jaringan kontroversi Frank Lampard yang mencetuskan gesaan terbaru bagi penggunaan teknologi untuk membantu pengadil membuat keputusan terhadap gol yang dipertikaikan.
Hampir setahun selepas dinafikan gol yang sah di Piala Dunia, Lampard menyumbat gol pertama Chelsea kelmarin sungguhpun ulang tayang menunjukkan penjaga gol Tottenham, Heurelho Gomes berjaya menghalang bola melepasi garisan.
Tetapi ketika Lampard memanfaatkan tuah kelmarin, dia menjadi pihak yang malang pada Piala Dunia tahun lalu ketika jaringannya yang sahih dikatakan tidak melepasi garisan dan Jerman kemudian meraih kemenangan ke atas England dalam pertemuan pusingan ke-16.
Pihak atasan FIFA pantas memohon maaf atas keputusan itu dan mahu mengubah untuk menerapkan teknologi sebagai sebahagian daripada permainan, namun dilihat masih jauh daripada menggunakan teknologi garisan gol dan ulang tayang untuk membantu pengadil membuat keputusan.

“Apabila Lampard boleh meledakkan percubaan yang boleh melepasi dua kaki garisan gol dan tidak diberikan, ia menunjukkan bahawa ia akan terus berlaku,” kata pengurus Tottenham, Harry Redknapp selepas perlawanan kelmarin, merujuk kepada ledakan Piala Dunia. “Ia hanya mengambil masa lima saat untuk membuat keputusan tepat. Apakah yang menghalang daripada membuat keputusan tepat?”

Chelsea memanfaatkan satu lagi keputusan kontroversi lewat perlawanan kelmarin, ketika Salomon Kalou menjaringkan gol kemenangan sungguh pun dikatakan berada pada kedudukan ofsaid.

Dua keputusan itu pastinya menjejaskan Tottenham dari segi pendapatan, yang bergelut mengejar Manchester City dalam perebutan tempat keempat dan pusingan kelayakan Liga Juara-Juara tahun depan yang menawarkan perolehan kewangan besar.[berita]

0 Pengulas Sukan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...