Frank Lampard memberi mesej penting mengenai nilai dirinya kepada
Chelsea apabila muncul wira The Blues apabila dua jaringannya
membutirkan tiga mata penting dengan menundukkan Everton 2-1 dalam
saingan Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, malam tadi.
Pemain tengah berusia 34 tahun itu yang kontraknya akan berakhir pada penghujung musim ini, menyemarakkan kebangkitan Chelsea dengan menyamakan kedudukan tiga minit sebelum perlawanan babak pertama berakhir, selepas The Blues ketinggalan melalui jaringan Steven Pienaar pada awal permainan.
Lampard meledak gol kemenangan ketika perlawanan berbaki 18 minit,
sekali gus melonjakkan pasukannya yang beraksi kurang satu perlawanan ke
tangga ketiga carta liga, empat mata di belakang Manchester City di
tangga kedua. Everton kekal di tangga keenam, tiga mata di belakang
pasukan yang menghuni tempat keempat Tottenham Hotspur.
Bermain di halaman sendiri, Everton bermula garang dan hanya memerlukan 63 saat untuk merobek gawang Chelsea. Tandukan Victor Anichebe hasil hantaran lintang Phil Jagielka mengenai tiang gol dan Pienaar pantas menyambar bola untuk menewaskan Petr Cech, yang membuat penampilan ke-400 di gawang Chelsea.
Sepakan percuma Nikica Jelavic pula mengenai palang, sebelum Lampard menyamakan kedudukan pada minit ke-42 apabila menanduk hantaran Ramires.
Cech terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan buku lali, dan penggantinya Ross Turnbull tertewas oleh tandukan Jelavic pada minit ke-69 tetapi cubaan itu hanya singgah di palang.
Gol kemenangan hadir tiga minit kemudian, apabila Lampard menolak bola dari jarak dekat selepas Tim Howard menampan cubaan Juan Mata, untuk The Blues mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam liga.[sumber]
0 Pengulas Sukan:
Catat Ulasan